Pages

15/11/2011

Masyarakat Chitty


 

Masyarakat Chitty merupakan masyarakat peranakan yang terdapat di Melaka. Masyarakat ini adalah masyarakat yang terpencil di Malaysia dan mempunyai bilangan penduduk yang sedikit.
Asal usul
Masyarakat ini berasal dari negara India, masyarakat ini dikesan sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi iaitu ketika Melaka menjadi pusat perdagangan yang pesat. Pengaruh agama Hindu dalam hal ehwal istana di kebanyakan kerajaan di rantau Nusantara juga melanda Melaka dan ini menjadikan kedudukan pedagang India bertambah kukuh. Catatan sejarah juga membuktikan penerimaan tokoh-tokoh dari 'benua keling' di dalam istana.



Kampung Keling wujud di Melaka sejak zaman kesultanan ini lagi. Pedagang-pedagang India yang datang berdagang telah meninggalkan  pembantu-pembantu mereka untuk menguruskan urusniaga dan jualbeli di Melaka sementara menunggu kapal dagang mereka kembali semula ke Melaka. Bilangan pembantu yang menunggu di Melaka semakin lama semakin bertambah. Cuma kaum lelaki sahaja yang dibenarkan berlayar keluar meninggalkan tempat asal. Terdapat pembantu-pembantu yang tinggal di Melaka mula berkahwin dengan perempuan tempatan dan memulakan kehidupan dengan keluarga baru di Melaka.

Terdapat juga pembantu-pembantu ini yang menganut Islam dan ada yang terus mengamalkan agama Hindu. Bagi yang memeluk Islam terus terserap dalam masyarakat Melayu. Golongan yang terus berpegang teguh pada agama Hindu dan mengembangkan ikatan keluarga di Melaka, menjadi titik permulaan wujudnya golongan peranakan Hindu Melaka dan dikenali sebagai masyarakat Chitty. Pada zaman Portugis dan Belanda, masyarakat Chitty ini menghadapi pelbagai rintangan kerana sukar untuk meneruskan aktiviti perdagangan di bawah pentadbiran kuasa Barat dan terpaksa beralih kepada aktiviti pertanian dan perusahaan kecil seperti mengilang batu-bata dan lain-lain bagi menyara kehidupan.

Ketika Inggeris memerintah Negeri-negeri Selat, masyarakat Chitty mula meminati kerja-kerja makan gaji di bawah pentadbiran tempatan. Masyarakat ini memiliki geran tanah sejak kedatangan Belanda dan pernah menduduki kawasan yang begitu luas meliputi Kampung Keling, Kampung Lapan/ Gajah Berang, Tengkera, Limbungan dan Bacang.

Ciri-ciri Chitty

Masyarakat Chitty mengamalkan agama HIndu mazhab Siva yang agak ortodox. Mereka memberikan nama Hindu terhadap anggota masyarakat. Kebanyakan bahasa pertuturan yang digunakan adalah sama seperti masyarakat Baba Nyonya iaitu menggunakan bahasa Melayu kecuali perkataan-perkataan yang berkaitan dengan agama dan adat istiadat yang terus menunjukkan pengaruh bahasa Tamil/Sanskrit. Di dalam kuil juga mereka menggunakan bahasa Melayu.

Pakaian yang digunakan juga sama seperti masyarakat Baba Nyonya, memakai baju dan sarung terutama golongan yang lebih tua. Dalam penyediaan makanan, masyarakat Chitty mencampurkan cara tempatan dan cara India. Percampuran antara ras dalam kulit dan alis muka dapat diperhatikan.

Masyarakat ini tiada lagi pertalian dengan nenek moyang atau saudara mara mereka di India. Bagi mereka, Kampung Chitty merupakan kampung asal mereka. Badan Pemegang Amanah Kuil Sri Poyyatha Vinayagar Moorthi diamanahkan untuk mentadbir hal ehwal masyarakat ini. Badan ini mentadbir semua harta dan tanah milik kaum ini serta merupakan pengawal rasmi untuk menyelesaikan sebarang masalah yang timbul berkaitan masyarakat Chitty. Kuil ini juga merupakan kuil asal milik mereka. Masyarakat ini juga tidak terlibat sama sekali degan golongan ceti yang terdiri daripada anggota masyarakat Tamil dari kasta Ceti.