Pages

17/12/2011

Zakia Mahasa - Hakim Muslimah Pertama di Amerika

Zakia Mahasa (tudung hitam)

Wanita ini merupakan hakim muslimah pertama yang dilantik sebagai hakim dalam badan kehakiman Amerika. Ini telah membuka lembaran baru sejarah kehakiman di Amerika. Beliau menjadikan pengiktirafan tersebut sebagai penghormatan baginya untuk tampil sebagai hakim yang berkarisma dan dinamik. Beliau memiliki keinginan yang tinggi untuk berjaya.



Usaha keras yang berterusan telah membuahkan hasil. Semuanya berpunca dari sebuah artikel yang dibacanya sejak kecil bertajuk "Mengharap Yang Baik". Berdasarkan artikel tersebut, beliau bercita-cita untuk menjadi seorang doktor atau peguam.

Zakia mula mendalami Islam ketika menuntut di University of Maryland dalam bidang pengurusan perniagaan. Beliau begitu mengagumi Islam lalu mengambil keputusan menukar agama dari Kristian kepada Islam setelah setahun mendalaminya. Tindakan beliau  pada mulanya mendapat tentangan dari ibu ekoran peristiwa buruk yang telah menimpa sepupunya semasa berkunjung ke sebuah negara Islam.

Namun demikian, perkara tersebut tidak berjaya mengubah pendiriannya malah beliau semakin bertambah nekad. Menjelang Ramadhan selepas 2 minggu memeluk Islam, beliau bertanyakan ibunya berkenaan juadah berbuka puasa untuk dirinya.

Memandangkan ketika itu Zakia sedang melanjutkan pelajaran dalam pengajian perundangan, bapanya begitu pragmatik dengan tindakannya memeluk Islam. Walaupun begitu, beliau tetap bimbang tentang peluang pekerjaan terhad bagi seorang muslimah dalam badan perundangan di Amerika. Namun Zakia sedikit pun tidak bimbang atau gentar dengan sebarang cabaran yang bakal ditempuhinya. Baginya, izin Tuhan tetap mengatasi segala masalah. Dia yakin bahawa Tuhan sentiasa bersamanya.

Semenjak memeluk Islam, beliau sudah menutup aurat. Dia sesuaikan diri dengan keadaan. Semasa bekerja beliau faham bahawa perlu tampil secara profesional. Beliau juga berpakaian kemas sebagaiman wanita lain.Baginya, menganut Islam tidaklah bermaksud beliau dilarang memakai seluar, baju labuh, jaket dan sebagainya. Paling penting adalah berpakaian yang menutup aurat dan tampil sederhana.

Kejayaannya selama ini turut didorong oleh ketegasannya menolak sebarang pujukan agar dia kembali seperti biasa atau lebih tepat keluar dari Islam. Menukar corak kehidupan semata-mata agar diterima oleh rakan lain bukanlah caranya hidup sebagai seorang yang berpegang pada prinsip.

Tidak semua orang mampu pergi jauh seperti Zakia, beliau telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam kerjayanya yang diberi kepercayaan untuk mengetuai perbicaraan bersangkutan dengan kes-kes domestik. Beliau turut terkenal sebagai seorang yang tegas dan berkarisma. Zakia mampu mengendalikan 9 hingga 30 kes perbicaraan sehari. Sudah tentu ini sesuatu yang hanya boleh dilakukan oleh mereka yang konsisten dan komited. Beliau mengendalikan perbicaraan yang melibatkan emosi dan penuh konflik seperti penderaan, anak-anak terbiar dan nakal bukan sesuatu kes yang amat mudah.

Sesungguhnya Zaki berjaya memberi gambaran sebenar bahawa Islam itu adalah agama yang sederhana dan bukan ekstrim sebagaimana tanggapan masyarakat Amerika. Baginya cara yang terbaik untuk berdakwah ialah melalui akhlak yang ditunjukkan. Dari situ orang akan dapat menilai betapa indahnya Islam.