Pages

Subscribe:

Ads 468x60px

16/09/2011

OKU tapi Masih Gagah

SELESA...Tuan Man mendapat sokongan rakan sekerja.
SELESA...Tuan Man mendapat sokongan rakan sekerja.
KOTA BHARU: Seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) yang kudung kedua-dua tangan dan kaki layak digelar ‘OKU Super’ berikutan kemampuannya hidup seperti manusia normal termasuk memandu kereta sejauh hampir 100 kilometer setiap hari.

Tuan Man Tuan Wel, 50, dari Kampung Banggol Pak Esah, Pasir Puteh, cacat sejak lahir dengan keadaan tangan paras siku dan kaki setakat lutut.

“Cacat bukan halangan untuk saya meneruskan hidup. Melihat keadaan saya yang begini mungkin ramai tidak percaya saya mampu memandu kereta dan memanjat anak tangga ke tingkat dua tempat saya bekerja.
“Namun, itu yang saya lalui sejak bertahun lalu,” katanya yang juga pembantu tadbir di Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan sejak 2002.

Tuan Man berkata, dia juga tiada masalah membawa isteri dan anak makan angin dengan memandu dari Pasir Puteh, Kelantan ke Cameron Highlands.

Tuan Man atau mesra dengan panggilan Pak Ku, berkahwin dengan Robiah Abdullah, 41, dan dikurniakan tiga anak, Tuan Nur Qurratu Ainy Mardiah, 14, Tuan Nur Azim Qoyyum, 10 dan Tuan Nur Qasrina Amaniey Mardiah, 5.

Dia memandu Perodua Kancil yang diubah suai dengan kebenaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas memperoleh lesen memandu kereta pada 2004.

Setiap hari bekerja, rutinnya ialah memandu dari rumah mereka di Pasir Puteh ke Kota Bharu untuk menghantar isterinya yang juga pembantu tadbir di Jabatan Akauntan Negara Kelantan, sebelum dia ke tempat kerjanya dan mengambil semula isterinya untuk pulang ke rumah pada petang.
“Bagi saya, kehidupan yang saya lalui sekarang kurang cabaran kerana sudah banyak kemudahan disediakan kerajaan kepada OKU.

“Bagaimanapun, saya masih berharap kerajaan membuka lebih banyak peluang kepada golongan seperti saya kerana masih ramai beranggapan OKU tidak berkemampuan menyumbang tenaga serta buah fikiran meskipun ramai yang berkelulusan tinggi,” katanya.

Tuan Man yang berkelulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) berkata, dia mula bekerja pada 1991 termasuk di Putrajaya dan menempuh pelbagai cabaran, tetapi semangatnya tidak pernah pudar.

“Dulu ada yang tidak yakin dengan kemampuan saya, tetapi dengan usaha gigih dan kesungguhan, saya diserap ke jawatan tetap dan berpencen,” katanya yang mempunyai ketinggian 126 sentimeter.

Menurut Tuan Man, meskipun ada pihak sudi menyumbangkan kaki palsu, dia menolak secara baik kerana lebih senang menggunakan kakinya yang asal.

“Bagi saya, menggunakan kaki yang separas lutut ini lebih memudahkan saya memanjat atau menuruni tangga di pejabat.

“Saya tidak memakai kasut kerana tidak selesa dan sakit,” katanya yang aktif sebagai ahli Persatuan Insan Istimewa Kelantan (Insani).

Sumber : Metro Online

0 comments:

Post a Comment

Dah Baca? Tinggalkan komen anda...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
hostgator coupons