Habil dan Qabil (Bab 1)
Kehidupan sebagai suami isteri bagi Adam dan Hawa di bumi begitu
sempurna tatkala Hawa bersedia untuk melahirkan anak-anaknya yang akan
menjadi benih pertama bagi umat manusia di dunia ini.
Siti Hawa melahirkan kembar dua pasang. Pasangan pertama lahirlah anak lelaki bernama Qabil
dan anak perempuan bernama Iqlima, kemudian disusuli pasangan kembar kedua bernama Habil bagi lelaki dan perempuan bernama Lubuda.
Nabi Adam dan isterinya Siti Hawa, menyambut kelahiran keempat-empat orang anaknya itu dengan senang dan gembira, walaupun Hawa menderita sebagaimana lumrah yang dilalui setiap ibu dalam proses melahirkan
bayi. Harapan mereka dari keempat-empat anak yang pertama ini akan menurunkan anak
cucu yang akan terus berkembang untuk memenuhi bumi Allah dan menguasai amanat yang telah diterimanya.
Cinta dan kasih sayang yang diterima dari Nabi Adam dan isterinya maka membesarlah keempat-empat anak
itu dengan pantas melalui zaman kanak-kanak dan meningkat remaja.
Anak perempuan dengan fitrahnya menolong ibu
mengurus rumahtangga dan mengurus hal-hal yang menjadi tugas
seorang wanita, manakala lelaki menempuhi laluan mencari nafkah
untuk memenuhi keperluan hidup. Qabil dalam bidang pertanian
dan Habil di bidang perternakan.
Kehidupan harian keluarga Adam dan Hawa berlalu dengan sempurna
diliputi rasa kasih sayang dan saling cinta mencintai serta hormat menghormati
antara satu sama lain. Pergaulan di antara keempat-empat saudara
begitu harmoni, damai dan tenang serta saling bantu membantu, hormat
menghormati dan bergotong-royong.
Alam Remaja.
Keempat-empat orang anak Adam ini mencapai usia remaja dan memasuki alam akil
baligh di mana nafsu dan syahwat serta hajat kepada hubungan
kelamin semakin hari semakin nyata dan jelas pada gaya dan sikap mereka. Perkara ini menjadi persoalan terhadap kedua orang tuanya, bagaimana
cara bagi menyalurkan nafsu dan syahwat itu agar terjaga kemurnian,
keturunan dan dapat menghindarkan hubungan kelamin yang bebas di antara
putera-puterinya.
Allah telah memberi ilham dan petunjuk supaya kedua-dua orang puteranya
dikahwinkan dengan puterinya. Qabil dikahwinkan dengan adik Habil yang
bernama Lubuda manakala Habil dengan adik Qabil yang bernama Iqlima.
Ilham yang Nabi Adam terima itu telah
disampaikan kepada kedua puteranya sebagai keputusan si ayah yang harus
dipatuhi dan segera dilaksanakan untuk menjaga dan mengekalkan suasana
aman damai dan tenang. Namun tanpa diduga dan disangka rancangan tersebut
ditolak mentah-mentah oleh Qabil dan menyatakan ia tidak mahu
mengahwini Lubuda, dengan mengemukakan alasan bahawa Lubuda
adalah buruk dan tidak secantik Iqlima. Dia berpendapat dia lebih patut mengahwini Iqlima sebagai
isteri dan tidak rela menyerahkannya kepada
Habil. Demikianlah kecantikan dan keelokan paras rupa wanita
selalu menjadi fitnah dan rebutan lelaki yang kadangkala menjurus
kepada permusuhan yang akhirnya mengakibatkan hilangnya
nyawa dan timbulnya perasaan dendam dan dengki antara keluarga dan kaum.
Disebabkan Qabil tetap berkeras dan tidak mahu menerima keputusan ayahnya
dan terus meminta supaya dikahwinkan dengan Iqlima
maka Nabi Adam terpaksa menghindarkan guna kekerasan atau paksaan yang
dapat menimbulkan perpecahan antara saudara serta mengganggu kedamaian keluarga beliau secara bijaksana dengan mengusulkan agar masalah perjodohan itu diserahkan kepada Allah untuk menentukannya.
Cara yang digunakan ialah Qabil dan Habil harus
menyerahkan korban kepada Allah dengan catatan barang siapa di
antara kedua saudara itu diterima korbannya maka dialah yang berhak untuk menentukan
pilihan jodohnya.
Qabil dan Habil menerima baik jalan penyelesaian yang ditawarkan itu. Habil keluar dan kembali semula dengan membawa ternakan peliharaannya maka Qabil
datang dengan sekarung gandum yang dipilih dari hasil cucuk tanamnya
yang rosak dan busuk kemudian diletakkan kedua-dua korban iaitu kambing Habil
dan gandum Qabil di atas sebuah bukit. Pergilah kedua-duanya dengan menyaksikan
dari jauh apa yang akan terjadi terhadap korban mereka.
Seluruh anggota keluarga Adam yang
menanti dengan hati berdebar-debar untuk menyaksikan apa akan terjadi terhadap
kedua-dua korban itu. Kelihatan api besar yang turun dari langit
menyambar kambing korban Habil lalu musnah sedangkan karung gandum kepunyaan Qabil tidak tersentuh
sedikit pun oleh api dan tetap tinggal utuh.
Demikian Habil diiktiraf sebagai pemenang dalam pertaruhan
itu kerana korbannya telah diterima oleh Allah dan dia mendapat keutamaan untuk memilih bakal isterinya di antara kedua gadis
saudaranya itu.
hostgator coupons