Nabi Muhammad S.A.W telah dilantik menjadi rasul pada usia 41 tahun dan diturunkan wahyu yang pertama di Gua Hira' ketika sedang ber'uzlah. Gua Hira' terletak di Gunung Nur berhampiran Kota Mekah. Kedudukannya lebih kurang 5km perjalanan menuju ke Mina. Penurunan wahyu berakhir dengan turunnya ayat yang terakhir di Kota Madinah beberapa sebelum baginda wafat.
Nabi Muhammad merupakan seorang yang ummiy (tidak tahu membaca dan menulis). Inilah bukti yang menunjukkan Baginda menerima wahyu daripada Allah dan bukannya ciptaan Baginda sendiri. Oleh kerana Baginda seorang yang ummiy maka Baginda telah menghafaz ayat-ayat Al-Quran yang telah diturunkan dan Baginda mengajar kepada para sahabat secara hafazan. Ini kerana secara umumnya masyarakat ketika itu tidak pandai menulis dan tidak boleh membaca.
Para sahabat turut menghafaz al_quran, sebahagian mereka telah menghafaz keseluruhan al-Quran dan sebahagian yang lain menghafaz surah-surah tertentu sahaja. Antara sahabat yang hafaz al-Quran dari kalangan muhajirin iaitu :-
Abu Bakar As-Shiddiq
Umar bin Al-Khattab
Othman bin Affan
Abdullah bin Abbas
Ali bin Abu Talib
Talhah bin Ubaidillah
Sa'ad bin Abu Waqas
Abdullah bin Amru bin al-Ash
Salim bin Ma'qal
Abdullah bin Umar
Abdullah bin al-Zubir
Ummul Mu'minin
Aisyah binti Abu Bakar
Ummul Mu'minin Hafshah binti Umar
Ummul Mu'minin Ummu Salamah.
Manakala dari kalangan anshar iaitu :-
Ubaidah bin al-Shamit
Mu'adz bin Jabal
Ubai bin Ka'ab
Mujma' bin Jariah
Fudhalah bin Ubadi
Musamah bin Makhlad
Zaid bin Thabit
Abu Darda'
Anas bin Malik.
Ada daripada mereka itu yang disebut secara khusus oleh Baginda yang menunjukkan hafazan penuh terhadap al-Quran. Golongan muhajirin :-
Abdullah bin Mas'ud
Salim bin Ma'qal
Golongan anshar :-
Mu'adz bin Jabal
Ubai bin Ka'ab
Pada zaman Rasulullah juga sudah bermula proses penulisan al-Quran. Sebaik Baginda menerima wahyu, Baginda telah memerintahkan jurutulisnya mencatatkan ayat-ayat al-Quran tersebut. Jurutulis akan mencatatkan ayat-ayat tersebut pada pelepah-pelepah tamar, kulit-kulit binatang, batu-batu dan sebagainya. Manakala kaum muslimin lain turut menyalin ayat-ayat al-Quran daripada catatan tersebut.
Bilangan jurutulis tidak dapat dikenalpasti jumlah sebenar. Ulama berselisih pendapat, ada yang mengatakan seramai 26 orang dan ada yang mengatakan sehingga 40 orang. Antara jurutlis yang masyhur ialah :-
Abu Bakar as-Shiddiq
Umar bin al-Khattab
Othman bin Affan
Ali bin Abu Talib
Zaid bin Thabit
Ubai bin Ka'ab
Thabit bin Qais
Muadz bin Jabal
Amru bin al-Ash
Mu'awiyah bin Abu Sufian
Hudzaifah bin al-Yaman
Huwaitib bin Abdul 'Uzza
Abban bin Sa'id
Al-Zubir bin al-Awwam
Terdapat 2 orang sahabat yang paling banyak mencatat iaitu Mu'awiyah bin Abu Sufian dan Zaid bin Thabit. Al-Quran telah ditulis kesemuanya pada zaman Rasullullah walaupun dalam keadaan yang terpisah antara sebahagian dengan sebahagian yang lain. Al-Quran juga tersimpan dalam dada para sahabat yang menjadi bukti kukuh dan hujah yang kuat mengenai kemutawatiran al-Quran.
Pada zaman Rasulullah al-Quran tidak dikumpulkan dalamsatu mushaf sebaliknya dalam keadaan terpisah antara satu sama lain. Perkara ini disebabkan :-
1-Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur mengikut keadaan dan situasi tertentu.
2-Rasulullah tidak sempat melakukan perbuatan tersebut kerana Baginda hidup dalam waktu yang singkat selepas turunnya wahyu yang terakhir.
3-Sebahagian ayat-ayat al-Quran yang diturunkan belum pasti samada ianya tetap atau akan dimansukhkan dengan ayat-ayat sesudahnya.
4-Penyusunan al-Quran pada zaman Rasulullah bukanlah satu tuntutan yang terdesak kerana jika berlaku kekeliruan, mereka boleh merujuk terus kepada Baginda.
5-Kekurangan peralatan menulis.