Bersabda Rasulullah SAW: "Tidak tiba suatu hari melainkan turunnya 5 Malaikat:-
- Turunnya malaikat di Makkah.
- Turunnya malaikat di Madinah.
- Turunnya malaikat di Baitulmaqdis.
- Turunnya malaikat di kubur orang muslimin.
- Turunnya malaikat di majlis kaum muslimin.
Berkata malaikat yang turun di Makkah: "Ingatlah! Sesiapa yang meninggalkan kewajipannya terhadap Allah SWT maka sesungguhnya mereka itu terlepas dari rahmat Allah SWT."
Berkata malaikat yang turun di Madinah: "Ingatlah! Sesiapa yang meninggalkan sunnaturrasul maka sesungguhnya mereka itu tidak akan mendapat syafaat dari Rasulullah."
Berkata malaikat yang turun di Baitulmaqdis: "Ingatlah! Sesiapa yang memakan harta haram tidak akan diterima segala amalnya."
Berkata malaikat yang turun di kubur orang muslimin: "Wahai ahli kubur! Apakah yang kamu inginkan dan apakah yang kamu sesalkan?" Berkata ahli kubur: "Kami menyesal kerana tidak dapat menambahkan amal kerana telah mensia-siakan umur kami sewaktu di dunia dahulu dan kami merasa iri hati dengan orang yang selalu solat berjemaah dan membaca Al-Quran dan membaca selawat serta beristigfar sedangkan kami pula sudah tidak boleh lagi berbuat semua itu."
Berkata malaikat yang turun di majlis kaum muslimin: "Wahai manusia! Tenang-tenanglah sebab Allah itu menentukan balasan hukuman. Sesiapa yang takut atas pembalasan Allah maka hendaklah ia segera memperbaiki dirinya dan bertaubat dari dosa-dosa yang dilakukannya. Kami sentiasa takut tetapi kamu tidak takut kepada Allah. Kalaulah tiada orang yang khusyuk dan tiada bayi-bayi yang masih menghisap susu ibu dan tiada binatang peliharaan dan tiada orang-orang tua yang solat nescaya telah ditimpakan ke atas kamu seksa dengan sekaligus."
Berkata Aisyah RA: "Rasulullah SAW bersabda kepadaku:"Wahai Aisyah, awaslah dari dosa-dosa yang kecil sebab Allah pasti akan menuntutnya."
Seorang Hakim telah ditanya: "Mengapakah kami mendengar pengajian tetapi kami tidak dapat mengamalkannya?" Berkata Hakim itu: "Itu adalah berpunca dari lima sebab antaranya:-
- Allah telah memberi nikmat kepada kamu tetapi kamu tidak mensyukurinya.
- Kamu telah berbuat dosa dan kamu tidak pula mahu beristigfar.
- Kamu tidak suka mengerjakan apa yang sudah kamu ketahui.
- Kamu bersahabat dengan orang-orang yang baik tetapi kamu tidak mahu meniru amal kebaikan mereka.
- Kamu selalu menguburkan orang yang telah mati tetapi kamu tidak mahu mengambil iktibar.