Pages

Subscribe:

Ads 468x60px

14/09/2011

Ajaran Sesat Lagi




RAWANG – “Dia pernah mengakui kepada saya tiga kali malaikat datang untuk mencabut nyawanya, tetapi tidak jadi selepas dia minta tangguh sebab hendak selamatkan ramai lagi umat Islam (ke jalan benar).”

Demikian antara pengalaman penduduk pernah dipujuk sendiri oleh pengasas Ajaran Ilmu Hakikat Hassan Jonit untuk menyertai kumpulan terpesong dari ajaran Islam itu, yang tidak dapat dilupakan.

Penduduk hanya mahu dikenali sebagai Mohamad berkata, dia mesra memanggil pengasas kumpulan terbabit yang bertapak di Kampung Melayu Batu Arang itu sebagai ‘Wak’ seperti kalangan masyarakat kampung.

“Saya dan Wak agak rapat kerana bekerja di satu tempat kerja yang sama iaitu di kilang buat peluru di Batu Arang pada 1974. Pada masa itu Wak bekerja sebagai ‘foreman’ baik dengan semua seperti biasa.

“Sejak 90-an, dia (arwah) yang berumur sekitar 50-an ketika itu dan berasal dari Tanjong Karang sudah menuntut ajaran itu di Gombak sebelum menjadi pengasas ajaran berkenaan bermula di kampung ini,” katanya.

Menurut Mohamad, Wak yang meninggal dunia sekitar lima tahun lalu pernah memujuknya beberapa kali supaya menuntut ilmu terbabit di Gombak, tetapi ditolak baik dengan alasan mempunyai komitmen lain.

Katanya, terdapat juga rakan-rakan dari Batu Arang cuba menjadi pengikut ajaran berkenaan, tetapi tidak tahan dengan masa ‘pengajian’ pada tengah malam hingga awal pagi.

“Ada kawan-kawan (kilang) kata tidak tahan kerana waktu kelas sedemikian, kemudian 7.30 pagi perlu masuk kerja semula. Jadi ramai yang lari.

“Namun ada segelintir terpengaruh sebab dijanjikan ia adalah jalan betul untuk mencari akhirat iaitu masuk ke syurga,” katanya.

Menurut Mohamad, bagaimanapun berikutan ajaran menjadi bualan ketika itu, pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sudah membuat pantauan beberapa tahun selepas kewujudannya bertapak di kampung tersebut.

“Sekarang daripada maklumat kita terima, salah seorang menantu lelaki Wak daripada 13 anaknya, menyambung ‘tugasnya’ untuk menyebar ajaran itu,” katanya.

Menurutnya, penduduk tidak membuat aduan rasmi walaupun sedar kegiatan dilakukan kumpulan terbabit.

“Jika tidak silap sudah dua kali serbuan ke rumah itu, malah pihak Jais pun sudah pantau.

“Selepas itu kita tidak dengar sebarang cerita, namun baru-baru ini isu itu (ajaran sesat ) kembali diketengahkan,” katanya.

Mohamad juga mengesahkan kelas ‘pengajian’ ada dijalankan di markas utama ajaran tersebut.

Katanya, aktiviti diadakan di ruang surau markas dihadiri kira-kira 20 pengikut pada satu-satu masa.

“Dua kali setiap minggu terdapat orang akan ‘mengaji tarikat’ di situ yang sering diadakan sekitar jam 1 pagi hingga jam 4 pagi.

“Mereka yang datang bukan calang-calang orang kerana menggunakan kereta besar-besar dan kebanyakannya orang luar dan bukan penduduk tempatan," katanya.

0 comments:

Post a Comment

Dah Baca? Tinggalkan komen anda...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
hostgator coupons