NILAI: Taktik licik seorang lelaki warga Iran menyembunyikan puluhan kilogram (kg) dadah dalam 15 peti kayu mengandungi pasu terbongkar apabila kediamannya di Taman Titiwangsa, Kuala Lumpur, diserbu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), malam kelmarin.
Lebih mengejutkan pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan bahan haram itu yang dianggarkan seberat 89 kg bernilai RM22 juta.
Dalam serbuan kira-kira jam 8.40 malam, lelaki berusia 29 tahun ditahan hasil maklumat awam dan risikan berhubung wujud aktiviti pengedaran dadah di dalam rumah terbabit.
Penolong Ketua Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JKDM, Datuk Zainul Abidin Taib berkata, hasil pemeriksaan di kediaman disewa itu menemui syabu yang disembunyikan di bahagian bawah setiap peti kayu terbabit.
“Siasatan mendapati semua peti kayu itu diikrar kepada kastam sebagai barangan ‘cenderamata’ mengandungi pasu dan dibayar cukai RM5,000.
“Ia dihantar seorang individu dari negara sama (Iran) melalui kargo udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menggunakan penerbangan Qatar Airways dari Doha.
“Suspek kini direman 14 hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Ibu Pejabat Narkotik JKDM di Kampung Jijan di sini, semalam.
Menurut beliau, berdasarkan rekod suspek sudah memasuki negara ini tiga kali sebagai pelancong dan dua kali daripadanya melalui Indonesia.
“Rekod turut menunjukkan suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap tinggal di Malaysia antara lima hingga 30 hari,” katanya. Sementara itu, kata Zainul, pihaknya turut menyerbu sebuah premis di Ampang Jaya, Selangor, yang disyaki dijadikan pangkalan pengedaran dadah, kira-kira jam 1.30 tengah hari 27 Ogos lalu.
“Hasil pemeriksaan ke atas 10 peti kayu di dalam premis itu menjumpai syabu seberat 94.15 kg dengan anggaran nilai pasaran RM23.5 juta yang diseludup masuk melalui kargo udara dengan penerbangan Mahan Air dari Iran.
“Kami (KDRM) percaya sindiket berkenaan adalah kumpulan yang sama berdasarkan modus operandi mereka yang menggunakan kargo udara. Justeru, kami sedang mengesan penerima barangan itu untuk membantu siasatan,” katanya.
Menurut beliau, rampasan berjumlah RM46 juta itu antara yang terbesar dalam sejarah pihaknya dalam menumpaskan sindiket pengedaran dadah pada tahun ini.
0 comments:
Post a Comment
Dah Baca? Tinggalkan komen anda...