INDAH...pemandangan sekitar air terjun Sipiso-piso.
Selain membeli-belah, kami dapat menghayati kehidupan masyarakat Batak selain menikmati keindahan alam semula jadi yang sungguh indah.
Yang menarik, inilah satu-satunya istana Melayu yang ada di Medan. Di dalamnya ada himpunan foto, pakaian dan singgahsana istana yang menurut jurucakapnya ada pertalian dengan sultan Tanah Melayu.
Bandar Medan juga sesak dengan kenderaan bertali arus, selain bunyi bising kerana pemandunya sering membunyikan hon kenderaan untuk minta laluan.
Seterusnya kami dibawa makan tengah hari di sebuah restoran yang menghidangkan masakan Padang. Makanannya sedap dan menepati selera kami. Kemudian kami ke Parapat, yang mengambil masa lapan jam perjalanan dengan bas.
Dalam perjalanan, kami singgah di kedai menjual pelbagai jenis makan ringan seperti Teng-teng, Ting-ting yang diperbuat daripada kacang. Kami bermalam di Parapat sambil menikmati keindahan alam Danau Toba yang sungguh mengasyikkan.
Danau Toba adalah sebuah tasik hasil letusan gunung berapi yang panjangnya 100 kilometer, lebar 30 kilometer dan tasik air tawar terbesar di dunia. Di tengahnya terletak Pulau Samosir.
Orang Batak adalah penduduk asal Danau Toba sehingga kini. Orang Batak meliputi lima cabang etnik iaitu Batak Toba, Batak Simalungun, Batak Karo, Batak Mandaling dan Batak Pakpak.
Kebanyakan hasil pertanian di Danau Toba dikendalikan oleh orang Batak. Kawasan tanah yang subur menyebabkan hasil tanaman sentiasa menjadi dan sumber pendapatan penting bagi kaum Batak. Tanaman paling utama adalah padi bukit yang menghasilkan pemandangan indah.
Pengunjung dapat melihat panorama cantik kerana berlatarkan sawah padi yang menghijau, di samping udara segar dan sejuk. Sudah pasti ia antara memori terindah bagi setiap pengunjung yang datang bercuti di Danau Toba.
Keesokannya selepas sarapan, peserta dibawa menaiki feri selama 45 minit untuk meneruskan lawatan melihat perkampungan Batak di Pulau Samosir.
Di atas feri, kami ‘dihidang’ dengan lagu popular Indonesia oleh kanak-kanak Batak yang mencari rezeki sebelum melawat perkampungan Tomok dan Ambarita.
Di situ ada perkuburan Raja Sidabutar selain kerusi daripada batu dan tempat sejarah Raja Siallagan.
Banyak gerai jualan sepanjang jalan, antaranya kacang rebus, ubi rebus, kraftangan dan pakaian. Bermacam ragam peniaga di situ yang kebanyakannya golongan wanita untuk menarik perhatian pelancong yang rata-rata dari Malaysia.
Selepas beberapa jam di sana, kami kembali semula ke Parapat untuk makan tengah hari di sebuah restoran Minang. Makanannya menyelerakan.
Perjalanan kemudian diteruskan ke Brastagi. Jalannya kecil, bengkang-bengkok dan mendaki bukit serta berhampiran gaung. Gayat ada, takut pun ada. Banyak kali pemandu bas kami tekan brek angin apabila berselisih dengan kenderaan lain. Kalau duduk dekat tingkap, kita boleh nampak gaung yang dalam dan menggerunkan.
Dalam perjalanan, kami singgah di sebuah restoran di Simarjarungjung yang menyajikan teh halia, teh manis dan pisang goreng panas. Cuacanya dingin seperti di Genting Highlands manakala pemandangannya cantik dan memukau.
Kegayatan dialami akhirnya hilang apabila kami sampai di kawasan air terjun Sipiso-piso yang ketinggiannya 110 meter. Dengan cuacanya yang dingin dan kabus tebal, kami dapat melihat Danau Toba keseluruhannya. Indahnya alam ciptaan Allah.
Sipiso-piso berasal daripada perkataan piso bermaksud pisau. Derasnya air dari bukit berketinggian seratus meter itu diumpamakan berbilah-bilah pisau tajam.
Sepanjang perjalanan, kami dapat melihat pemandangan kampung Batak dan hasil pertanian tanah tinggi yang diusahakan seperti kubis yang subur.
Tiba di Brastagi, kami singgah di pasar buah, sayuran segar dan bunga-bungaan dan seterusnya bermalam di situ.
Keesokannya, kami meneruskan kembara ke Medan yang mengambil masa dua jam. Hari terakhir, kami meronda bandar Medan sekali lagi dan seterusnya membeli-belah di Pasar Ikan - tempat yang menjual pelbagai jenis kain batik, telekong dan kraftangan.
Keadaannya sesak dengan peniaga dan orang ramai selain suasananya juga tidak selesa dan panas. Namun yang penting sebelum membeli, pelancong kena pandai tawar-menawar.
0 comments:
Post a Comment
Dah Baca? Tinggalkan komen anda...