Pages

Subscribe:

Ads 468x60px

28/01/2012

Masjid Sultan Ibrahim, Muar



Masjid Jamek Sultan Ibrahim terletak di daerah Muar, Johor. Bandar Muar berada di bahagian barat laut negeri Johor dan mempunyai keluasan 2,346.12 km persegi bersempadan dengan negeri Melaka di bahagian utara, daerah Segamat di bahagian timur dan daerah Batu Pahat di bahagian selatan. Perkataan 'Muar' dipercayai berasal dari perkataan Muara. Terdapat lagi satu kisah yang mengatakan ia berkemungkinan berasal dari perkataan Hindu iaitu Muna yang bermaksud tiga dan Ar  yang bermaksud sungai. Tiga sungai tersebut merujuk kepada Sungai Muar, Sungai Serting dan Sungai Pahang.


Bandar Muar turut dikenali dengan nama Bandar Maharani dan nama ini diberi oleh Maharaja Abu Bakar pada 1884. Pada 5 Ogos 1887, satu majlis pembukaan bandar baru bagi daerah Muar dilangsungkan di samping menamakan bandar Maharani oleh Maharaja Johor sendiri. Upacara ini dihadiri pengawal dan pembesar negeri, pedagang China dan semua penghulu tempatan yang berhimpun di satu kawasan Tangga Batu.

Muar kaya dengan sejarah tetapi disebabkan tiada catatan arkeologi, kebanyakan sejarah silam Muar tidak diketahui. Dipercayai sejarah Muar bermula lebih awal daripada empayar Melaka. Pada 1361, terdapat catatan yang menyatakan Muar adalah sebahagian daripada wilayah empayar Majapahit. Catatan lain pula ada menyebut bahawa Parameswara, pengasas empayar Melaka pernah menubuhkan penempatan di Pagoh, Ulu Muar selepas melarikan diri dari Temasik sebelum menuju ke Melaka.

Satu-satunya makam kesultanan Melaka yang masih dipulihara dengan baik di Muar ialah Makam Sultan Alauddin Riayat Shah I (1477-1488). Makam Kesultanan Melaka yang lain dipercayai musnah ketika penaklukan Portugis ke atas Melaka. Muar adalah bandar diraja dan pernah menjadi sebuah kerajaan merdeka dan berdaulat yang diperintah Sultan Ali (1855-1877). Peristiwa itu berlaku semasa penguasaan negeri Johor (kecuali Muar) diserahkan kepada Temenggong Daeng Ibrahim di bawah perjanjian antara British di Singapura dan Sultan Ali. Setelah banginda mangkat pada 1887, Muar akhirnya menjadi sebahagian daripada wilayah JOhor.  

Pada zaman pemerintahan Sultan Ibrahim, perkembangan pendidikan Islam begitu meluas di Muar. Hal ini berikutan kesinambungan pendakwah dan pejuang agama yang tidak pernah mengenal erti jerih bagi memastikan daerah ini sentiasa mempertahankan Islam sebagai benteng pertahanan akidah umat Islam. Antara ulama yang pernah mencorakkan landskap perkembangan Islam di daerah ini ialah :-
  • Syeikh Tahir Jalaluddin (1869-1959)
  • Tan Sri Dato' Dr. Haji Abdul Jalil Hassan (1912-1990)
  • Kiai Fadil Al-Banteni (1870-1950)
  • Kadi Abu Bakar Hassan (1877-1938)
  • Tuan Guru Haji Mohd Yassin Muhammad (1898-1975)
  • Dato' Kiai Samsudin Redwan (1911-1997)
Bahkan berkat keprihatinan baginda Sultan, banyak masjid dan surau didirikan sebagai simbol kedaulatan pentadbiran Islam. Kira-kira 146 buah masjid dan 416 buah surau didirikan di daerah ini sejak sebelum merdeka. Antara masjid yang terkenal di Muar ialah Masjid Jamek Muar, Bandar Maharani yang kemudiannya mashyur dengan panggilan Masj id Sultan Ibrahim.

Masjid ini dibina bagi menggantikan masjid kayu yang telah wujud sejak tahun 1880 an. Masjid ini terletak di Jalan Petrie, Muar dibina sekitar tahun 1920-1925 dan dirasmikan oleh Tunku Mahkota Ismail pada 28 Februari 1930. Konsep reka bentuk masjid ini merupakan gabungan seni bina klasik Eropah dan seni bina Islam. Di bahagian belakang masjid yang menghadap Sungai Muar dibina menara empat tingkat hasil sentuhan pelukis pelan Kerajaan Johor, Sulaiman Alias.  Kelainan masjid ini mihrabnya berkubah dengan ciri seni Reinassance dan tingkap Venetian daripada Palladian mengelilingi dinding kubahnya. Ciri-ciri seni bina tempatan dapat dilihat pada bumbung perabung lima serta anjung berpintu di setiap penjurunya, Keunikan terserlah dengan jajaran tiang Roman Klasik iaitu jenis ionik dan penggunaan balustuade pada serambi menaranya. 

Masjid ini terkenal dengan aktiviti pengimarahan sejak dahulu dan menjadi tarikan jemaah datang beribadat dari pelbagai pelosok. Para pendakwah dan pembimbing agama menjadi penyeri masjid ini sejak sebelum merdeka lagi antaranya guru takmir yang terkenal ialah bekas Kadhi Besar Johor Dato' Abu Bakar Alim Al-Muari, Kiai Haji Fadhil Al-Bentani, Tuan Guru Mohd Yassin Mohammad (bapa kepada TPM), Pengasas Wirid Khaujakan Ustaz Osman Azhari, Tokoh Maal Hijrah Johor, Ustaz Haji Ahmad Tunggal dan ramai lagi. Masjid ini bukan sahaja diperindah tetapi juga terus diimarah bagi memantapkan benteng pertahanan ummah
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
hostgator coupons