Subscribe:

Ads 468x60px

26/01/2012

Landasan keretapi pertama di Tanah Melayu


Stesen keretapi Johor yag terletak di Kuala Sungai Sengget, keretapi menyeberang ke Singapura melalui Tambak Johor yang kelihatan di belakang


Benarkah landasan keretapi pertama di Tanah Melayu dibina oleh British pada tahun 1885 antara Taiping dan Kuala Sepetang di Perak? Itulah yang selama ini tercatat dalam buku sejarah.
Menurut Setiausaha Jumaah majlis Diraja Johor,Dato’ Abdul Rahim Ramli, Johor telah mempunyai landasan keretapi 16 tahun lebih awal daripada landasan keretapi Taiping-Port Weld. “Landasan keretapi pertama di Johor dibina pada tahun 1869 antara Johor Bahru dan Gunung Pulai.  Pada ketika itu, landasan keretapi itu adalah yang pertama dan mendahului negeri-negeri lain di Tanah Melayu”.

Menurutnya lagi, keberangkatan Maharaja Abu Bakar (Sultan Johor ketika itu) merasmikan projek berkenaan pada 21 Julai 1869 dan dilaporkan oleh akhbar The Straits Times keluaran 24 Julai 1869. Laporan akhbar itu sekaligus menyanggah fakta sejarah yang menyatakan bahawa landasan keretapi pertama di Tanah Melayu dibina oleh pihak British pada 1 Jun 1885 di Perak. Landasan sepanjang 32 km yang menghubungkan Johor Bahru dan Gunung Pulai itu dibina sepenuhnya daripada kayu. Malah pelapik dan kunci landasan juga diperbuat daripada kayu.

Landasan keretapi, Johor Bahru 1973

Pada waktu landasan itu dibina, Johor sememangnya kaya dengan khazanah kayu-kayan yang berharga. Sempena landasan yang diperbuat sepenuhnya daripada kayu itu, pada ketika itu keretapi digelar keretapi kayu. Kerja pembinaannya dilaksanakan oleh pekerja Melayu dan Jawa.
Landasan keretapi itu dibina bermula dari Kampung Kereta Asap yang terletak berhadapan Istana Besar yang ada sekarang melalui sebuah perkampungan atas air yang terletak berhampiran Hospital Sultanah Aminah (ketika itu hospital belum wujud), Skudai dan berakhir di Gunung Pulai. Kampung yang dibina di atas air itu dihuni oleh orang Melayu. Apabila kerja pembinaan landasan hendak dimulakan, sebahagian penduduk dipindahkan ke kampong Tarom dan sebahagiannya ke Kampung Baru di Jalan Abdul Samad. Kedua-dua kampong ini masih wujud sehingga ke hari ini. Akan tetapi perkampungan di atas air dihadapan hospital sudah tidak wujud lagi.
Gunung Pulai dipilih berdasarkan wawasan ekonomi Maharaja Abu Bakar yang berpandangan bahawa kewujudan system pengangkutan seperti keretapi akan membolehkan pembukaan ladang gambir dan lada hitam di sepanjang laluan. Selain itu, Gunung Pulai terletak kira-kira 610 meter dari aras laut dan sesuai dijadikan pusat peranginan. Keretapi juga digunakan bagi membawa pelancong ke sana kerana pada ketika itu tiada jalanraya.  
Pembinaan landasan keretapi daripada kayu ini adalah untuk kegunaan pengangkutan penduduk Johor, selain dapat meningkatkan aktiviti ekonomi dan memajukan negei Johor. Lokomotif yang digunakan di atas landasan keretapi kayu itu dibeli dari London pada 1874. Kerja-kerja pembinaan landasan berterusan sehingga tahun 1874.
Pada tahun 1879,  Thomas Heshop Hill melaporkan dalam The Singapore Times bahawa kerja-kerja pembinaan dihentikan ekoran tragedi lokomotif tergelincir dari landasan ketika diadakan sesi percubaan. Salah satu sebab yang dikenalpasti ialah serangan anai-anai terhadap kayu landasan.
Namun, usaha Maharaja Abu Bakar tidak terhenti disitu. Pada tahun 1888, baginda mengemukakan idea membina satu lagi landasan keretapi yang menghubungkan Bandar Maharani dan Parit Jawa di Muar. Landasan sepanjang 18km itu Berjaya dibina pada tahun 1890 dan perkhidmatan keretapi itu diberi nama Keretapi Kerajaan Muar (Muar State Railway).

Replika kepala keretapi kerajaan Muar yang pernah digunakan pada tahun 1890 kini dipamerkan di Tanjung Emas, Muar

Kali ini bagi mengelakkan kegagalan seperti landasan kayu diantara Johor Bahru dan Gunung Pulai berulang lagi, landasan berkenaan dibina menggunakan besi yang diimport dari London. Keretapi Kerajaan Muar beroperasi sehingga 1918 sahaja berikutan kerajaan sudah mula membina jalan-jalan raya di seluruh negeri.
Bagaimanapun keretapi kemudiannya menjadi pengangkutan utama di Tanah Melayu. Pada tahun 1924, mereka yang mahu ke Singapura tidak perlu menaiki feri tetapi boleh menggunakan perkhidmatan keretapi. Stesen Johor Bahru (ketika itu dikenali nama Kuala Sungai Sengget) terletak berhampiran tambak jalan masuk ke Singapura.
Selepas kejayaan Keretapi Kerajaan Muar, semua perkhidmatan keretapi di seluruh Negara ditadbir urus oleh negeri masing-masing sehinggalah British menjajah Tanah Melayu dan menggabungkan kesemua perkhidmatan keretapi di bawah nama satu organisasi iaitu Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
hostgator coupons