Pages

Subscribe:

Ads 468x60px

29/09/2011

'Perpustakaan Dan Kedai Buku' Terapung Di Pelabuhan Klang

PELABUHAN KLANG, 29 Sept - MV Logos Hope, satu-satunya kapal yang belayar mengeliling dunia sebagai perpustakaan dan kedai buku terapung, kini berlabuh di Pusat Pelayaran Pelabuhan Klang dekat sini.

Kapal sepanjang 132 meter yang berpangkalan di Jerman dan menawarkan pilihan lebih 5,000 judul buku itu akan berada di sini sehingga 23 Okt.

Pengarah Urusan Logos Hope Gian Walser berkata kapal itu sedang dalam pelayaran sulungnya mengelilingi dunia dan Malaysia menjadi negara timur pertama yang disinggahinya.

"Matlamat kami adalah untuk menjadikan buku mudah diperoleh dan mampu dibeli oleh sesiapa saja," katanya pada sidang akhbar sempena majlis perasmian pesta buku itu dekat sini Khamis.

Pesta buku itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Senator Heng Seai Kie.

Mengenai koleksi buku di atas kapal Logos Hope, Walser berkata penerbit seringkali menderma buku yang dikeluarkan daripada edaran di negara-negara maju selepas edisi baru diterbitkan.

"Ini membolehkan Logos Hope menawarkan buku pada harga yang lebih rendah daripada kos asal kepada penduduk di negara membangun," katanya.

Sebelum ini Logos Hope berlabuh di Pulau Pinang dan destinasi persinggahan berikutnya ialah Kuching, disusuli Kota Kinabalu.

Walser berkata sehingga kini, kira-kira 130,000 orang telah pun mengunjungi pesta buku terapung itu.

Katanya kapal berkenaan telah melaksanakan pelbagai jenis projek bantuan, antara lain termasuk mempromosikan kesedaran terhadap program pendidikan dan membina masa depan yang lebih baik bagi kanak-kanak di seluruh dunia.

Sementara itu, Heng berkata dengan petugas di atas kapal itu yang mewakili lebih 45 negara, komuniti Logos Hope disifatkan sebagai pernyataan sebenar sifat muhibbah dan persefahaman antarabangsa.

Beliau berkata anak kapal dan petugas di atas kapal adalah sukarelawan tanpa gaji yang merangkumi pelayar, jururawat, guru serta tukang masak.

"Oleh itu, lebih ramai rakyat Malaysia seharusnya mengambil bahagian dalam pelayaran muhibbah ini untuk menyebarkan pengetahuan mengenai pelbagai budaya," katanya, sambil menambah terdapat lima rakyat Malaysia di atas kapal itu, termasuk seorang doktor.

Pesta itu dibuka kepada orang ramai dari 10 pagi hingga 10 malam dari Selasa hingga Sabtu dan 3 petang hingga 10 malam setiap Ahad. Pesta itu ditutup pada Isnin.

Harga tiket hanya RM1 dan tiada bayaran dikenakan bagi kanak-kanak bawah 12 tahun yang diiringi oleh seorang dewasa.

Sumber : Bernama

0 comments:

Post a Comment

Dah Baca? Tinggalkan komen anda...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
hostgator coupons