Subscribe:

Ads 468x60px

19/09/2011

Uji VR11

TIADA MUSTAHIL...Model F1 direka oleh pelajar tingkatan lima SEMASHUR.
TIADA MUSTAHIL...Model F1 direka oleh pelajar tingkatan lima SEMASHUR.
TIADA siapa menyangka di sebalik usia yang masih muda, empat pelajar Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (SEMASHUR) mampu mencipta model kereta Formula Satu (F1).

Pertama kali menyertai pertandingan itu di pering­kat kebangsaan, pasukan diberi nama Velospeed Sepang International Circuit (SIC) berjaya menyaingi 400 sekolah yang menyertainya.
  
  • Foto INOVATIF...model VR-11 bakal bersaing 
    dengan lebih 40 pereka cipta luar negara.
  • Foto JUARA...Velospeed SIC ingin buru kemenangan di peringkat antarabangsa.
  • Foto BANGGA...Velospeed SIC bersama trofi kemenangan.
Lantaran itu, kini usaha diteruskan untuk melakar nama di peringkat antarabangsa sebaik dipilih mewakili negara ke pertandingan ‘F1 In School World Final Races’, di mana mereka bakal bersaing dengan lebih 23 pasukan dari seluruh dunia.

Pasukan Velospeed SIC ingin menguji sejauh mana kemampuan model jentera mereka iaitu VR-11 yang kini memegang rekod 1.1 saat untuk trek sepanjang 20 meter di peringkat kebangsaan tahun lalu.


Selaku ketua pasukan, Asyraf Najmie Abd Rahman, 17, tidak sedikit pun mendabik dada meskipun bakal mengetuai cabaran pasukan tunggal negara dalam pertandingan antarabangsa itu di Hotel Doubletree by Hilton, Kuala Lumpur pada 19 September ini.

Baginya, tiada istilah bang­ga dan senang hati dengan pencapaian yang ada kerana baginya selagi belum bertanding, perjalanan dan usaha tidak lagi selesai.

Dia yang berperanan sebagai jurutera reka bentuk berkata, meskipun model kereta F1 mengungguli empat kategori pertandi­ngan ‘F1 in School’ peringkat kebangsaan, masih banyak kerja penambah baikan perlu dilakukan.

Dia terpaksa mengorbankan waktu santai bersama keluarga, terutama keseronokan ketika sambutan perayaan, kerana tarikh pertandingan begitu hampir.

“Saya tidak dapat beraya tahun ini kerana perlu me­nyiapkan model kenderaan F1 untuk pertandingan F1 in School Antarabangsa.

“Sepanjang cuti raya, masa banyak dihabiskan di dalam bilik, berbanding raya sebelum ini waktu banyak diperuntukkan bersama keluarga.

“Itu antara pengorbanan saya selaku ketua pasukan ‘velospeed SIC’ demi memburu tempat terbaik dalam pertandingan,” katanya.

Menurut Najmie, harapan pasukannya bukan saja untuk mengharumkan nama sekolahnya. Ia turut memikul amanah mereka yang sanggup menyuntik modal dalam projek ‘F1 in School’ ini.

Pelajar tingkatan lima berasal daripada Putrajaya itu menyifatkan minatnya dalam bidang ini banyak memberi kekuatan sambil diiringi dorongan kuat keluarganya.

“Saya terharu atas pengorbanan keluarga yang sanggup tidak pulang beraya ke kampung demi menemani saya di Putrajaya untuk menyiapkan rekaan model kereta.

“Pada masa sama, ibu bapa sering mengingatkan saya supaya mengulang­kaji sebagai persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia,” katanya yang sempat membuat persediaan peperiksaan bersama rakan sepasukan.

Sementara itu, Alang Arif Asyraf Muhammad Ghazali, 17, berkata pembabitannya dalam projek ini tidak membuatkan dia hilang fokus dan melupakan tanggungjawab sebagai pelajar.

Malah, ia bagaikan satu bonus kepada dirinya dan rakan lain kerana mereka berada selangkah di depan berbanding rakan lain.

“Saya dan rakan tidak sedikit pun ketinggalan meskipun pertandingan ini membuatkan saya dan pasukan saya terpaksa menghabiskan banyak masa di luar kelas.

“Malah, kami lebih maju daripada pelajar lain kerana pembabitan dalam bidang ini membuatkan kami terpaksa memahirkan diri dengan pelbagai ilmu, terutama fizik.

“Kami terpaksa menghadiri kuliah tambahan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bagi mempelajari formula jauh lebih rumit yang penting dalam projek ini,” katanya.

Bekas pembahas bahasa Inggeris SEMASHUR ini berkata, meskipun tidak berhasrat menjadi jurutera automatif, peranannya tidak kurang pentingnya.

Ini kerana dia bertanggungjawab mencari sumber kewangan untuk menampung kos pembuatan model kereta itu.

“Saya berasakan ia komitmen besar kerana perlu mengumpul dana bagi menampung kos sepanjang menghasilkan model kereta.

“Bayangkan belanja untuk model saja menelan puluhan ribu ringgit. Itu tidak termasuk kos logistik, gerai pameran dan portfolio,” kata­nya yang berperanan sebagai pengurus sumber.

Muhammad Aimran Md Noor, 17, jurutera pembuatan pasukan pula berkata, dia tidak boleh terlepas pandang dalam setiap bahan digunakan.

“Saya perlu memastikan pembuatan kereta itu mematuhi piawaian ditetapkan penganjur pertandingan.

“Malah saya terbabit secara langsung dalam proses pembuatan bermula daripada memotong kayu balsa dijadikan kereta hinggalah model kereta itu siap untuk diper­tan­­dingkan.

“Pada masa sama, saya perlu berusaha memikirkan bahagian mana boleh dinaik taraf supaya kereta lebih ringan dan pantas meluncur di atas trek,” katanya yang turut bercita-cita menjadi jurutera automotif.

Oleh itu, dia tidak sedikit mengeluh apabila terpaksa tidur di makmal dan menghabiskan masa lebih 10 jam di depan komputer.

“Saat paling manis sepanjang menjayakan projek F1 ini ialah terpaksa tidur di makmal bersama rakan sepasukan,” kata anak kedua daripada tiga beradik ini.

Bagi pereka grafik pasukan Velospeed, Muhammad Arif Azizan Abdul Jalil,17, dia perlu menentukan semua persediaan seperti portfolio, rekaan pakaian korporat, bahan paparan dan warna kereta perlu mengikut skema warna korporat penaja.

“SIC ialah penaja platinum kami. Oleh itu saya perlu memastikan setiap aspek mengikut warna korporat syarikat menaja.

“Merah, putih dan hitam perlu bijak diadun supaya secocok dengan rekaan kereta.
Untuk itu saya perlu mendapat persetujuan semua ahli kumpulan,” katanya.

Dia berkata, pembabitannya dalam projek F1 di sekolah turut meningkatkan lagi pengetahuan dalam penguasaan beberapa perisian grafik penajaan daripada syarikat tertentu.

Guru pembimbing pasukan Velospeed SIC, Norazrina Abdul Aziz berharap pasukan itu menjadi inspirasi kepada pelajar lain.

“Saya harap usaha kumpulan ini menjadi perintis ke arah membudayakan F1 di sekolah ini,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Dah Baca? Tinggalkan komen anda...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
hostgator coupons