Pages

Subscribe:

Ads 468x60px

19/09/2011

Kolaborasi cipta irama harmoni

CERIA...gabungan kumpulan sekolah Malaysia.
CERIA...gabungan kumpulan sekolah Malaysia.
KOLABORASI unik Barat dan Timur berjaya menghimpun irama harmoni untuk hiburan mereka yang di dalam Auditorium Muzik Bentley.
Persembahan pembukaan dengan lagu tema filem James Bond 007 menyaksikan kemampuan kombinasi hebat empat sekolah menengah dari Malaysia bersama Sekolah Cathedral Wales dalam me­ngendali alat muzik brass.
   
  • Foto PEMAIN CILIK...pemain muda berusia 10
    tahun menunjukkan bakat bermain alat percussion.
  • Foto PROFESIONAL...kumpulan orkestra Sekolah Cathedral mempunyai kemahiran muzik tahap tujuh.
  • Foto PROFESIONAL...kumpulan orkestra Sekolah Cathedral mempunyai kemahiran muzik tahap tujuh.
  • Foto FRENCH HORN...mengetuai seksyen brass orkestra.
Tiupan gemersik penuh misteri daripada alat muzik brass seperti ‘french horn’, tuba, rotary, trumpet serta selitan seksyen genderang (percussion) dalam kumpulan itu ternyata menyerlah bakat pemain muda berkenaan.

Kemampuan kumpulan ini tidak seharusnya diperkecilkan kerana keupayaan mereka dijangka mampu menggantikan nama besar dalam muzik orkestra ini.


Meskipun pertama kali digandingkan, terbentuk keserasian antara mereka, menjadikan persembahan pemain cilik ini ‘satu letusan’ dalam perkembangan pendidikan muzik di Malaysia.

Sesuai dengan tema konsert malam itu yang dinamakan ‘Brass Explosion’ menzahirkan brass orkestra bakal menjadi fenomena di kalangan anak muda di Malaysia.

Pelajar daripada sekolah terpilih pula kelihatan tidak canggung dan beraksi cemerlang bersama kumpulan orkestra dari Wales yang membuat persembahan sempena kunjungan sambil belajar di Malaysia.

Menurut Siti Khadijah Abd Samad, 16, sebaik ditawarkan peluang beraksi membuat persembahan bersama pelajar luar, perasaan teruja mengatasi rasa gementar.

“Bermain pertama kali dengan pelajar antarabangsa ialah peluang terbaik sepanjang saya bergiat aktif dalam orkestra.

“Tidak dinafikan ada sedikit perasaan bimbang, tetapi sebaik berpeluang menjalani latihan bersama mereka, keresahan saya hilang sedikit demi sedikit.

“Meskipun mereka muda kerana ada di antara ahlinya berumur 10 tahun, mereka kekal bersikap profesional dan tidak lokek membantu saya dan rakan lain,” katanya.

Pelajar Sekolah Menengah Seri Puteri ini menyifatkan ia pengalaman hebat kerana mendapat bimbingan bertaraf antarabangsa di bawah bimbingan konduktor Paul Baker yang juga Pengetua Akademi Muzik Bentley.

“Bimbingan beliau (Baker) tidak memberi tekanan dan sering memahami kelebihan yang ada pada setiap pemuzik bawah pimpinannya.

“Murah dengan kata nasihat dan sering menegur membantu saya memahami apa juga yang beliau inginkan,” katanya yang bermain untuk seksyen percussion.

Sementara itu, pelajar ting­katan lima Sekolah Menengah Sains Selangor, Ahmad Nadhir berkata, dia sememangnya meminati muzik.

Sejak tingkatan satu dia terus menyertai kelab orkestra di sekolahnya. Komitmen dan keghairahan terhadap muzik membuatkan dia bersedia menerima teguran dengan hati terbuka.

“Pada awalnya saya berasa sedikit tercabar melihat pelajar Sekolah Cathedral boleh bermain dengan baik. Usia 10 tahun sudah menguasai pelbagai alat muzik dan membuat persembahan solo tanpa perlu konduktor.

“Ini menunjukkan tahap kemahiran mengendali muzik memang jauh berbanding pelajar kita. Ini menyebabkan saya mulanya berasa sedikit tertekan sebaik membandingkan kemahiran yang ada pada saya dengannya.

“Namun sebaik menjalani latihan bersama, saya lebih relaks dan bergembira bermain bersama sambil menghayati lagu dimainkan.

“Mereka sering bertukar-tukar pandangan mengenai teknik dan mesra, menyebab­kan tekanan beralih kepada cabaran positif supaya saya bermain lebih baik lagi,” kata Nadhir yang berperanan sebagai pemain trumpet.

Nadhir berpendapat kesempatan bekerjasama dengan pelajar luar ialah satu pengalaman manis kerana kemahirannya dalam pengendalian alat muzik semakin meningkat.

Bagi Ahmad Izzat Farhan Ahmad Latfi, 17, pengalaman ini berbeza meskipun pernah beraksi dengan pasukan luar negara.

“Saya pernah membuat persembahan bersama pelajar Paya Lebar Methodist Girls’ School, tetapi ia berlainan dengan persembahan Sekolah Cathedral.

“Masing-masing mempunyai gaya dan stail tersendiri dalam bermain alat muzik. Pengalaman ini membantu saya memperbaiki kemahiran,” kata pelajar tingkatan lima Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya itu.

Menariknya, kata Izzat, dia dan rakan cuma berkesempatan berlatih dua malam sebelum dipersembahkan untuk tatapan umum.

“Cabaran terbesar buat saya dan rakan ialah masa latihan sangat singkat. Kami perlu mencari keserasian. Pada masa sama, kami mencari kesempurnaan dalam permainan alat muzik supaya tiada berlaku kesilapan sewaktu persembahan,” katanya.

Muhammad Syahir Turiman pula berkata, cabaran terbesar ketika gandingan sulung bersama pasukan Wales ialah, dia terpaksa bermain alat muzik ‘french horn’.

“Saya memang tertekan kerana pertama kali bermain ‘french horn’ bersama pelajar luar negara, sedangkan sebelum ini saya biasa mengendalikan seruling.

“Namun saya mula selesa dan yakin apabila mendapat dorongan berterusan daripada konduktor,” katanya.

Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Sains Selangor itu berkata, dia kagum dengan pelajar Wales itu yang hanya seusia pelajar sekolah rendah kerana pengetahuan mereka setanding pemuzik profesional dan mempunyai pencapaian yang diiktiraf akademi muzik antarabangsa.

“Mereka mengingatkan saya supaya kerap membuat latihan dan sering membaca skrol muzik supaya saya mahir dalam pengendalian alat muzik,” katanya yang berhasrat meneruskan aktiviti ini sehingga ke peringkat universiti.

Sementara itu, Baker berkata, pihaknya menjalin kerjasama dengan Kementerian Pelajaran dengan harapan memperkembangkan pendidikan muzik di Malaysia.

“Kami mahu memberi pendedahan kepada kumpulan orkestra di sekolah bermain dengan kumpulan profesional.

“Ia bukan saja baik untuk meningkatkan kemahiran mereka, malah memberi pengalaman berbeza kerana mereka tidak bermain dengan kelompok sama,” katanya.

Beliau turut berpuas hati kerana prestasi pemuzik dari sekolah Malaysia memberangsangkan seiring dengan kualiti persembahan sekolah dari Wales itu.
“Saya kagum kerana mereka mampu bermain dengan baik dan memberi persembahan hebat pada malam ini.

“Walaupun rata-rata tidak mendapat akreditasi profesional sebagai pemuzik, kemahiran mereka tidak sedikit pun berbeza daripada yang mendapat pendidikan muzik formal,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Dah Baca? Tinggalkan komen anda...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
hostgator coupons