“MARI kuajarkan kamu tentang ikhlas,” kata seorang guru kepada muridnya.
“ Nanti saya ambilkan buku dan pena untuk menulisnya.”
“ Tak payah, bawa sahaja karung guni.”
“ Karung guni?” soal anak muridnya, seperti tidak percaya.
“ Mari kita ke pasar!”
Dalam perjalanan ke pasar mereka berdua melalui jalan yang berbatu-batu.
“ Kutip batu-batu yang besar dan masukkan ke dalam guni yang kau bawa itu,” kata guru itu memberi arahan.
Tanpa soal, anak muridnya memasukkan batu-batu besar yang mereka temui sepanjang jalan.
“ Belum. Isi sampai penuh karung guni itu.”
Sampai di pasar, mereka berdua tidak membeli apa-apa. Berlegar-legar, melihat-lihat dan kemudiannya mula beredar ke luar.
“ Tuan guru, kita tidak beli apa-apa?”
“ Tidak. Bukankah karung gunimu telah penuh?”
“ Ya, ya...” kata si murid, agak kelelahan.
“ Banyak beli barang,” tegur seorang kenalan apabila melihat mereka dengan guni yang kelihatan berat itu.
“ Wah, tentu mereka hendak buat kenduri besar kot,” kata seseorang.
“ Agaknya, mereka hendak buat kenduri besar kot,” kata yang lain pula.
Sebaik kembali ke tempat tinggal mereka, si murid meletakkan guni yang berisi batu-batu tadi. “ Oh, letih sungguh... apa yang kita nak buat dengan batu-batu ni tuan guru?”
“ Tak buat apa-apa.”
“ Eh, kalau begitu letih sahajalah saya,” balas anak murid.
“ Letih memang letih, tapi kamu dah belajar tentang ikhlas.”
“ Ikhlas?” Si murid kehairanan.
“ Kamu dah belajar apa akibatnya tidak ikhlas dalam beramal.”
“ Dengan memikul batu-batu ini?”
“ Ya. Batu-batu ini umpama amalan yang riyak. Tidak ikhlas. Orang memujinya seperti orang-orang di pasar tadi memuji banyaknya barang yang kamu beli. Tapi, kamu sendiri tahu itu bukan barang makanan atau keperluan, tetapi hanya batu-batu.”
“ Amal yang tidak ikhlas umpama batu-batu ini?”
“ Ya, hanya berat sahaja yang ditanggung. Dipuji orang, tetapi tidak ada nilainya di sisi Allah. Yang kamu dapat, hanya penat.”
“ Ya, sekarang saya faham apa akibat jika beramal tetapi tidak ikhlas!” ujar sang murid.
Pengajaran : Ramai manusia tertipu dalam beramal kerana mengharapkan pujian. Padahal kata-kata pujian hakikatnya hanya menyebabkan diri terseksa kerana terpaksa hidup dalam keadaan yang bermuka-muka. Rugi benar orang yang tidak ikhlas, terseksa di dunia, terseksa di akhirat.