Pages

Subscribe:

Ads 468x60px

26/01/2012

Cara mendapatkan bantuan Jabatan Bantuan Guaman



Jabatan Bantuan Guaman ditubuhkan bagi membantu golongan kurang berkemampuan mendapat akses sama rata disisi undang-undang selaras dengan Perkara 8 perlembagaan Persekutuan.
Melalui Akta Bantuan Guaman 1971, JBG memberikan khidmat nasihat dalam semua perkara berkaitan hal undang-undang di Malaysia, mewakili atau menyediakan khidmat guaman dalam perbicaraan di mahkamah Sivil, Jenayah dan Syariah termasuk dalam bidang kuasa jabatan berkenaan dan menjalankan proses pengantaraan bagi menyelesaikan sesuatu pertikaian secara damai dan sukarela.


JENIS-JENIS BANTUAN
Untuk kes-kes di Mahkamah Sivil, JBG mengendalikan kes-kes berkaitan kekeluargaan termasuk tuntutan nafkah, hak penjagaan anak selepas bercerai, penceraian dan tuntutan harta sepencarian.
Jabatan ini turut mengendalikan kes-kes pampas an pekerja, hal-hal berhubung penyewaan, sewa beli, pentadbiran pusaka, kes penyewaan tanah pertanian, tuntutan pengguna dan kes kemalangan jalanraya melibatkan kenderaan bermotor.
Bagi kes melibatkan Mahkamah Jenayah, JBG ada menjalankan mitigasi bagi tertuduh yang mengaku tidak bersalah tetapi tiak diwakili oleh peguam dan ingin membuat rayuan bagi meringankan hukuman.
JBG turut mengendalikan kes melibatkan kanak-kanak yang memerlukan perlindungan dan perkara-perkara lain yang berkaitan kanak-kanak.
Selain itu, JBG juga menyediakan bantuan perundangan bagi kesalahan-kesalahan kecil termasuk kesalahan pembakaran bunga api, melepaskan anjing atau haiwan lain di tempat awam, menyebabkan bunyi bising yang keterlaluan, berkelakuan aib dan kemudaratan lain seperti mandi di tempat awam, mengganggu orang mandi serta meludah merata-rata.

KELAYAKAN MENDAPAT BANTUAN
Secara amnya, kelayakan penerima bantuan akan ditentukan melaui dua perkara iaitu merit kes dan pendapatan pemohon.
Merit kes ialah penelitian daripada pihak JBG samada kes berkenaan adalah kukuh dan boleh dibawa ke mahkamah untuk perbicaraan. Jika kes yang dikemukakan didapati tidak kukuh, pemohon berkenaan tidak layak untuk mendapatkan bantuan daripada JBG.
Daripada segi pendapatan, seseorang pemohon hanya layak mendapatkan bantuan jika pendapatan daripada semua sumber kurang RM30,000 setahun atau sekitar RM2,500 sebulan.
Walaubagaimanapun begitu, kelayakan berkenaan akan ditentukan menerusi dua kategori iaitu pendapatan pemohon tidak melebihi RM25,000 setahun atau pendapatan melebihi RM25,000 tetapi tidak melebihi RM30,000 setahun.
Bagi pemohon kategori pertama iaitu tidak melebihi RM25,000 setahun, pemohon dikehendaki membayar yuran pendaftaran sebanyak RM2 berbanding pemohon kategori kedua yang perlu membayar RM300 sebagai bayaran sumbangan dan RM2 untuk yuran pendaftaran.
Jika pemohon mempunyai pendapatan melebihi RM30,000 setahun dan memerlukan bantuan daripada JBG, pemohon perlu mendapatkan kebenaran menteri dan/atau ketua pengarah. Jika permohonan diluluskan, pemohon berkenaan dikehendaki membayar yuran pendaftaran sebanyak RM 2 dan sumbangan mengikut kategori 1 atau 2 yang telah ditetapkan.

CARA MENDAPATKAN BANTUAN
Bagi mendapatkan bantuan guaman daripada JBG, pemohon perlu menjalani sesi temubual dikaunter JBG dan menjalani ujian kemampuan. Melalui sesi ini, pihak JBG akan melihat kelayakan pemohon daripada segi merit kes pendapatan mereka.
Selepas itu, pemohon diminta mendaftar dan menjelaskan yuran atau sumbangan mengikut kategori yang telah ditetapkan. Seterusnya pemohon akan dirujuk kepada pegawai JBG bagi membincangkan kes secara lebih lanjut dan setelah kes dirujuk, pihak JBG akan melihat samada kes berkenaan memerlukan nasihat guaman dan ulasan berkaitan kes akan diberikan.
Untuk menghadapi perbicaraan kes berkenaan, JBG akan menjalankan kajian dan siasatan. Pemohon perlu menyediakan dokumen-dokumen yang telah lengkap diisi termasuk Borang Akuan Berkanun. Pegawai JBG akan mendaftarkan kes berkenaan, membuka fail dan melakukan pemfailan dokumen-dokumen ke mahkamah.
Sepanjang Januari dan September 2011, JBG Johor telah mengendalikan 2191 kes melibatkan 1622 kes mahkamah Syariah, 496 kes mahkamah Sivil dan 73 kes mahkamah Jenayah
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
hostgator coupons