Pages

Subscribe:

Ads 468x60px

15/02/2012

Jangan Bercakap Terlalu Nyaring


Jangan bercakap lebih nyaring daripada kadar yang dikehendaki oleh pendengar kita. Demikianlah antara wasiat Imam Hasan al-Banna.

Percakapan yang nyaring dan kuat banyak mengundang masalah seperti
mengundang kemarahan orang dan menyuburkan takbur di hati para
penceramah dan pendakwah itu sendiri.

Dalam hal ini, seorang bapa yang bijaksana, Luqman al-Hakim menasihatkan
anak-anaknya sebagai berikut:-

"Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan juga rendahkanlah suaramu
(semasa berkata-kata) , sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara
keldai."
[Luqman: 19]

Justeru, menjadi tanggungjawab ibu bapa menasihatkan anak-anak mereka
agar tidak meninggikan suara ketika berbual bersama teman-temannya. Ini
kerana, hal meninggikan suara itu boleh menimbulkan pergaduhan.

Hal kesantunan bicara ini turut disentuh dalam buku bertajuk Cinta Di
Rumah Hasan Al-Banna yang memperihalkan kehidupan rumahtangga Al-Banna
sendiri.

Di dalam satu bab, pernah dikupas perihal tiadanya suara-suara yang
keras dan nyaring dalam keluarga beliau.

Semua ini menunjukkan bahawa Hasan al-Banna telah merintis jalan teori
dan melaksanakan amalinya dalam keluarganya sendiri. Maka di sini,
al-Banna benar-benar telah menjadikan wasiat Luqman al-Hakim itu sebagai
panduannya.

Sikap nabi-nabi yang bersikap lemah-lembut kepada pihak yang didakwah
juga patut diberikan perhatian..

Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu
wahai Muhammad), engkau bersikap lemah-lembut kepada mereka
(sahabat-sahabat) , dan kalau engkau bersikap kasar lagi keras hati,
tentu mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai
kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi
mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan
dan hal-hal
keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah
bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah,
sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya. [Ali
Imran:159]

Demikian juga ketika diperintahkan kepada Musa a.s dan Harun a.s untuk
berdepan dengan kezaliman Fir'aun.

"Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang
lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut." [Taha: 44]


Jangan nyaring berwirid
Malah dalam hal yang berkaitan dengan wirid, ratib dan zikir sekali pun,
Allah s.w.t menyeru kita supaya meratibkannya dengan rendah dan tidak
nyaring.

"Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah
diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahnya) , dan dengan
tidak pula menyaringkan suara pada waktu pagi dan petang dan janganlah
engkau menjadi dari orang-orang yang lalai." [Al-'Araaf: 205]


Mungkin, dengan berzikir dalam senyap, hal ini tidak diketahui orang
lain dan dengan itu, kita terselamat daripada bahaya riyak, penyakit
'ujub dan sum'ah.

Lantas, timbul persoalan baru mengenai amalan tarekat yang berzikir,
meratib beramai-ramai sehingga tinggi dan nyaring pula suara mereka.
Maka, bagaimanakah kedudukan ratib, zikir mereka ini?

Dalam hal latihan kerohanian, hal-hal seumpama itu dibenarkan,
diharuskan dengan sebab melatih murid-murid untuk berzikir. Ini kerana,
bagi sesetengah orang, penumpuan untuk berzikir itu sangat sukar kerana
mereka terlalu banyak berkhayal mengenai kenikmatan dan kelazatan
duniawi sebelum ini.

Maka, hal-hal yang seumpama itu tiada salahnya atas tujuan latihan.
Mungkin, apabila tiba waktunya, mereka akan diminta meneruskan wirid
dengan perlahan-lahan di tempat suluk mereka sendiri.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
hostgator coupons