Jujur ku katakan, menahan perasaan di hati yang datang bertandang
bukanlah sesuatu yang senang.
Lebih lebih lagi jika perasaan itu
berkisarkan rasa rindu, cinta dan kasih sayang.
Tapi ingatlah bahawa
rasa itu datangnya daripada tuhan.
Jadi, luahkanlah segalanya sambil
menadah tangan dan berdoa agar diberi kesabaran dan ketenangan.
Sifat jujur dan ikhlas sangat penting dalam diri. Ada pendapat
mengatakan, kata-kata seorang yang jujur dapat dipercayai sama dengan
perjanjian bertulis yang dilakukan olehnya. Orang
yang jujur akan dihormati oleh semua pihak dan menjadi benteng kepada
keimanan. Hikmah jujur adalah ibadah yang mudah dilakukan. Ia sebagai
perhiasan daripada hati tanpa berhias, kehebatan tanpa kerajaan, benteng
tanpa pagar, kekayaan tanpa meminta daripada orang lain dan dapat
menutup segala aib.
Nabi
SAW mengingatkan dalam hadisnya yang bermaksud: "Barang siapa yang
beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah dia berkata yang baik
atau diam." (riwayat Bukhari dan Muslim).
Lantaran itu, percakapan yang baik dan jujur adalah lambang hati yang baik dan ikhlas serta bersih melambangkan akhlakul karimah. Melalui pendidikan di rumah dan di sekolah percakapan yang baik dan jujur boleh dilakukan bagi mendidik hati sentiasa ikhlas.Mendidik
sifat jujur mestilah melalui pendidikan hati. Berazam setiap masa untuk
berlaku jujur akan menjadikan seseorang itu bersifat jujur. Pengalaman
daripada musibah juga akan menjadikan seseorang itu bersifat jujur
seperti pernah ditipu yang akhirnya membentuknya bersifat jujur.
Sebagai
anak pula, seseorang itu mestilah bersifat dan berlaku jujur pada diri
sendiri, sahabat, ibu bapa, kaum keluarga, guru dan jiran tetangga. Sifat
jujur juga sangat berkait rapat dengan amanah. Melalui percakapan dan
amal perbuatan sifat jujur dapat dilihat daripada seseorang.
Nabi
SAW bersabda: "Orang yang diajak bermusyawarah (diminta pendapat)
adalah orang yang boleh memegang amanah (jujur, ikhlas dan dapat
menyimpan rahsia). (riwayat Ath-Thabrani).
Imam
Muslim pernah berwasiat: "Seorang Muslim itu mestilah bersifat benar
dan jujur. Berkata benar sekalipun kepada dirinya sendiri kerana takut
kepada Allah dan tidak takut kepada celaan orang."
Justeru, seorang Muslim mestilah bersifat benar dan jujur dalam perkataan dan perlakuan. Sifat
jujur ikhlas dan suci hati itu lawannya ialah sifat belot, pembohong,
curang, dusta, helah, khianat, pecah amanah, memperdaya, putar belit,
seleweng dan tipu. Oleh itu, jauhi sifat yang buruk itu yang boleh merosakkan nilai diri dan akhlak seseorang.
Seseorang
Muslim yang benar dan jujur akan menjurus kepada sifat tawaduk dan
merendah diri. Lantaran itu Islam mengharamkan sifat-sifat dusta dan
sifat yang seumpama dengannya yang merupakan penyakit hati.
Sebagaimana
Rasulullah SAW pernah bersabda: "Sesungguhnya sifat benar membawa
kepada kebajikan dan sesungguhnya kebajikan itu membawa ke syurga.
Seseorang yang sentiasa bersifat benar hingga dicatat di sisi Allah
sebagai seorang yang benar. Dan sesungguhnya sifat dusta itu membawa
kepada kezaliman (kejahatan) dan kejahatan itu membawa ke neraka.
Seorang lelaki yang sentiasa berdusta, sehinggalah dicatat di sisi Allah
sebagai seorang pendusta." (riwayat Muttafaqun Alaih).
Lantaran
itu, selain mempamerkan sifat benar dan jujur, seorang Muslim mestilah
menjadikan dirinya contoh ikutan yang baik kepada orang lain.
Segala tingkah laku, perbuatan dan percakapan mestilah lahir daripada hati yang tulus dan ikhlas.
DALAM kehidupan seharian sifat jujur adalah sesuatu yang lahir
daripada hati yang ikhlas. Kejujuran membawa nilai yang baik dan besar
serta sangat penting dalam hubungan setiap insan. Apabila melaksanakan amalan ibadah dan amal jariah mestilah disusuli
dengan sifat jujur tanpa ada niat lain di sebalik apa yang dilakukan.Oleh itu, jangan sesekali sifat jujur itu dicemari dengan
menggandingkannya pada nama Ilahi, seperti menyatakan jujur dan ikhlas
kerana Allah, namun lain yang dihajati dan dilaksanakan.
Sifat jujur dapat difahami juga sebagai sifat ikhlas, suci hati dan tulus ikhlas dalam perbuatan dan percakapan. Selain itu, jujur juga adalah sifat lurus dan keikhlasan hati dalam
semua percakapan, perbuatan dan aktiviti yang dilakukan. Pendek kata,
sifat jujur datangnya daripada hati.
Sukar sekali untuk mencari orang yang bersifat jujur pada masa kini.
Walaupun ada, tetapi pengaruh wang dan kebendaan menjadikan manusia
sudah mulai melupakan kejujuran.
Justeru, Umar bin Khattab pernah berkata: "Jujurlah, walaupun
kejujuran itu boleh membunuhmu. Pada setiap orang yang tidak jujur, akan
mempunyai dua penjaga iaitu air dan lumpur."
Jujur mempunyai pengertian yang besar dalam Islam. Ia adalah
sebahagian daripada iman. Sebab itu, seorang yang tidak mempunyai sifat
jujur adalah orang yang nipis imannya. Ini disebabkan iman dan sifat
jujur berjalan seiring. Jika salah satu diabaikan, maka kedua-duanya
akan hilang.
Sifat jujur adalah hiasan diri daripada hati. Ia merangkumi pelbagai
sifat yang mulia seperti amanah, malu, memelihara keaiban diri dan orang
lain, bersopan santun serta menjaga dan memelihara maruah diri kerana
Allah. Sifat jujur dan tidak mengkhianati sangat penting.
Daripada Abu
Hurairah Nabi SAW bersabda: "Tunaikan amanat kepada orang yang memberi
amanah kepada engkau dan janganlah kamu mengkhianati orang yang
mengkhianati orang." (riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi).
Lantaran itu, sifat jujur perlu ada pada diri setiap Muslim, melalui sifat ini ia akan menjadi perisai kepada orang beriman. Sifat jujur perlu dididik dalam hati sejak seseorang itu masih kecil
lagi. Didikan dan bimbingan yang berterusan akan menjadikan seseorang
itu sentiasa jujur dan menuju kepada kesolehan.
Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT tidak memandang segak
tubuhmu dan tidak pula pada kedudukan mahupun harta kekayaanmu, tetapi
Allah memandang pada hatimu. Barang siapa memiliki hati yang soleh maka
Allah menyukainya. Bani Adam yang paling dicintai Allah ialah yang
paling bertakwa." (riwayat Ath-Thabrani dan Muslim).
Oleh itu, hati yang jujur sangat dipandang mulia oleh manusia dan
juga mendapat balasan di sisi Allah. Hati yang jujur akan menjurus
kepada sifat soleh dan ketakwaan dalam melaksanakan sesuatu. Orang yang paling disukai Allah adalah orang yang jujur apabila
menjual dan jujur apabila membeli dan jujur apabila membayar hutang,
serta lemah lembut apabila menagih hutang. Jika ditinjau sifat kejujuran sangat indah. Rasulullah SAW
menjalankan perniagaan dengan penuh jujur, amanah dan ikhlas sehingga
mampu memperdagangkan barangan jualan Khadijah dengan keuntungan yang
banyak. Dalam hal ini, baginda mengutamakan keredaan Allah dan mendapat
keberkatan dalam mencari rezeki yang halal. Malah sentiasa mengikut
syariat jauh daripada segala penipuan, riba, pengurangan dalam
timbangan. Oleh itu, penipuan dalam perniagaan adalah salah satu sifat yang
tidak jujur yang selalu dilakukan oleh mereka yang tidak beriman. Ibadah
yang ikhlas dan jujur adalah ibadah yang bersih daripada sifat riak,
ujub dan bersih daripada takbur.