Cuti sekolah kebiasaannya akan terbayang masa untuk membawa anak-anak berjalan. Namun ada juga yang hanya terperap di rumah. Kisah seorang temanku sewaktu di kampus mengingatkanku tentang kisah hidupnya yang tidak pernah berkunjung ke negeri lain. Setiap kali cuti sekolah, dia hanya mengabiskan masa di rumah. Dia yang menetap di Kedah, hanya ketika menuntut di Melaka adalah tempat paling jauh yang pernah dijejaki. Ketika cuti sekolah, bapanya hanya mengajak ke sawah sahaja. Ketika itu, sawahlah tempat yang paling jauh dia sampai. Orang lain pulang ke kampung untuk menjenguk datuk dan nenek tetapi dia setiap hari dapat menatap wajah-wajah tersebut. Bapanya yang anak bongsu menetap bersama neneknya.
Peluang yang diperolehi ketika melanjutkan pelajaran di Melaka seperti bulan jatuh ke riba. Gembira bukan kepalang rasanya. Setiap kali cuti tidak kira cuti hujung minggu sekalipun, dia tidak mempersiakan masa tersebut. Ke mana saja tempat di ajak, pasti dia tidak akan menolak. Dia sedar, dirinya bukan dari keluarga berada namun duit biasiswa yang diperolehi akan digunakan untuk keseronokan diri. Cuti semester, duit biasiswa pun habis. Tetapi itu tidak menjadi halangan bukan dirinya. Banyak tempat yang memerlukan pekerja tambahan, di situlah dia mencari duit poket tambahan. Dengan berbekalkan wajah yang manis, dia berjaya memikat seorang gadis anak orang berada. Gadis tersebut menjadi tempat sandaran buatnya, dan lebih menariknya gadis tersebut memandu sendiri kereta hadiah dari bapa.
Kehidupannya juga berubah setelah memiliki awek kaya. Sebut negeri mana saja, pasti dia tersenyum lebar untuk bercerita. Duit bukanlah penghalang buatnya, berapa yang dia inginkan pasti akan terhidang depan mata. Beza usia bukan penidak hubungan baginya walaupun mendapat awek yang tua 2 tahun darinya. Setiap kali cuti semester, jarang dia pulang ke kampung halaman. Apabila ditanya bapa, dia menjawab ikut rakan bilik pulang ke kampung. Padahal masanya dihabiskan bersama teman wanita. Pernah juga dia bercuti ke Pulau Pinang namun tidak terus pulang ke kampungnya di Kedah. Sedangkan jarak perjalanan tidaklah sejauh dari Melaka ke Kedah, namun dia enggan pulang ke Kedah.
Perjalanan ke Kelantan dan Terengganu turut diredahi. Sepanjang menuntut di Melaka, hanya tiba Aidilfitri sahaja dia pulang. Selain dari itu,masa dihabiskan bersama kekasih hati. Sehinggakan aweknya menamatkan pelajaran, perhubungan mereka tetap berterusan. Awek diberi kepercayaan keluarga untuk menguruskan perniagaan di Melaka adalah ibarat mengantuk di sorong bantal buatnya. Asal ingatkan duit, dia hanya memetik jari sahaja pasti awek kesayangan akan menghulurkan bantuan. Tidak kira berapa sahaja.
Namun, langit tidak selalu cerah. Kusangkakan panas berpanjangan, rupanya gerimis mengundang. Di semester akhir pengajiannya, khabar sedih diterima. Aweknya bakal bernikah dengan pilihan keluarga. Berita yang diterima umpama satu batu yang menghempap kepala. Majlis pernikahan awek tidak dihadiri, sedih kepalang menyelubungi diri. Semenjak itu, barulah dia kembali mengenali asal usul diri.