Pages

Subscribe:

Ads 468x60px

29/01/2012

PENENTANGAN MALAYAN UNION BERMULA DI JOHOR



Ketika awal tahun 1946, Sir Harold Macmichael dihantar oleh Kerajaan British ke Tanah Melayu untuk mendapatkan persetujuan Raja-raja Melayu bagi melaksanakan kerajaan Malayan Union, bermulalah rasa bimbang di kalangan orang-orang Melayu yang akhirnya mencetuskan penentangan terhadap gugusan Malayan Union.
Orang Melayu melihatnya sebagai langkah British untuk menjajah seluruh Tanah Melayu yang pastinya membawa kesan buruk kepada masa depan bangsa Melayu. Malayan Union dilihat akan melemahkan bangsa Melayu, menggugat kedudukan Raja-raja Melayu, mengancam kebudayaan Melayu dan boleh melenyapkan asal usul bangsa Melayu itu sendiri.

Rata-rata itulah kebimbangan yang menyelubungi sanubari orang Melayu ketika itu. Sebagai penduduk asal Tanah Melayu, mereka tidak rela kehilangan satu-satunya bumi yang mereka warisi daripada nenek moyang mereka.

MELAYU JOHOR BANGKIT MENENTANG
Tanggal 3 Januari 1946, Dato’ Onn yang ketika itu memegang jawatan sebagai Pegawai Daerah Batu Pahat Berjaya menggerakkan ketua-ketua kampung dari seluruh daerah Batu Pahat yang terdiri daripada pelbagai keturunan iaitu Melayu, Banjar, Jawa, Bugis, Siak dan Jambi. Ketika itu, mereka bersatu di bawah satu bendera iaitu bendera Melayu.
Dalam perhimpunan itu, Dato’ Onn menegaskan kepada semua yang hadir bahawa mulai hari itu, semua orang Melayu samada Banjar, Jawa, Bugis atau Jambi adalaha Melayu kerana mereka dating dari rumpun yang sama.
Di perkarangan masjid Bandar Penggaram, Dato’ Onn melaungkan “HIDUP MELAYU”, laungan keramat yang menjadi battlecry bagi menyatukan orang Melayu supaya mereka boleh terus hidup dibumi sendiri sebagai bangsa yang bermaruah.
Pada tarikh itu juga Dato’ Onn telah mencetuskan kebangkitan nasionalisme Melayu hingga menjalar ke seluruh kampung dan desa sekitar Batu Pahat. Pada hari itu juga bermulanya semangat kebangkitan Orang Melayu menentang cubaan untuk menghakis hak mereka di tanahair mereka sendiri.

PERGERAKAN MELAYU SEMENANJUNG JOHOR
Pada 3 Januari 1946 juga tertubuhnya sebuah persatuan yang diberi  nama Pergerakan Melayu Semenanjung Johor (PMSJ). Penubuhan pergerakan ini adalah hasil daripada persetujuan yang dicapai oleh persatuan-persatuan Melayu dan perwakilan daerah yang kuat di Johor pada ketika itu yang terdiri daripada Persatuan Melayu Kluang, Kesatuan Melayu Johor, Persatuan Melayu Johor Bahru, Persatuan Melayu Segamat, wakil Mersing, wakil Batu Pahat dan wakil Pontian.
Dalam satu perbincangan yang diadakan di kalangan persatuan-persatuan itu, keputusan dicapai untuk melantik Dato’ Onn sebagai pemimpin pergerakan itu.  Dato’ Onn bersetuju memimpin pergerakan itu yang matlamat utamanya ialah menentang Malayan Union. PMSJ juga bertujuan menyatukan orang Melayu dan berjuang serta mempertahankan hak dan kedudukan istimewa mereka supaya cinta akan Negara serta bekerjasama dengan kerajaan dan sesama Melayu.
Pergerakan ini juga berperanan menjadi badan dan suara dalam memperjuangkan hak-hak serta kehidupan orang Melayu keseluruhannya. Antara aktiviti utama PMSJ ialah menjadi penganjur kepada perhimpunan Kongres Melayu Se-Tanah Melayu (Se-Malaya) yang diadakan pada 1,2,3 dan 4 Mac 1964.

PERHIMPUNAN BESAR-BESARAN
Pada 10 Februari 1946, orang Melayu Batu Pahat sekali keluar beramai-ramai berarak dan berhimpun di tapak stadium Batu Pahat untuk bergabung suara dan tenaga atas nama Melayu bagi menentang gagasan Malayan Union yang ketika itu masih diusahakan untuk dilaksanakan oleh British.
Dato’ Onn sekali lagi mengetuai satu perhimpunan besar-besaran orang Melayu, kali ini lebih 15,000 orang bagi menentang secara terbuka gagasan yang cuba diperkenlakan oleh British.

KONGRES MELAYU
Kongres Melayu Se-Tanah Melayu yang diadakan di Kuala Lumpur dihadiri oleh wakil daripada 41 pertubuhan Melayu dari seluruh Tanah Melayu termasuk Singapura. Keputusan yang dicapai daripada kongres itu ialah bersetuju menubuhkan gerakan menentang Malayan Union di peringkat kebangsaan.
Dengan sokongan Sultan Johor, Sultan Ibrahim, satu mesyuarat diadakan di Istana Besar Johor Bahru yang disertai oleh 29 persatuan negeri-negeri di Tanah Melayu. Daripada mesyuarat tersebutlah tubuhnya UMNO.
Bermula dari Johor, Dato’ Onn menjelajah dari satu tempat ke satu tempat di semenanjung Tanah Melayu mengajak orang Melayu mengenepikan perbezaan suku, keturunan, asal dan kedaerahan masing-masing tidak kira samada Melayu Johor, Melaka, Selangor, Negeri Sembilan, Perak,Kedah, Perlis, Terengganu, Pahang, Kelantan atau Pulau Pinang. Beliau kemudian mengetuai gerakan mendesak Inggeris mengembalikan hak orang Melayu.

SEMANGAT GURU BATU PAHAT
Pada 21 Februari 1946, PMSJ daerah Batu Pahat mengadakan mesyuarat yang agenda utamanya adalah untuk membincangkan pemilihan perwakilan Batu Pahat ke Persidangan UMNO di Kuala Lumpur bagi menentang Malayan Union. Turut dibincangkan ialah bagaimana mendapatkan wang untuk tujuan itu.
Dalam mesyuarat tersebut, berlaku perbincangan hangat sehinggakan Dato’ Onn selaku pengerusi mesyuarat berkata, “ saya suka bercakap sedikit dalam hal ini dan telah saya dengar beberapa syor-syor dan bahasan daripadabeberapa pihak dan saya mengesyorkan dan saya percaya tentulah tidak menjadi keberatan kepada orang-orangkampung ituberyuran sebanyak dua puluh sen sahaja. Wang ini boleh menjadikan satu jumlah yang besar dan bagi pihak orang-orang berjawatan kerajaan saya selalu dengar sungutan-sungutan masing-masing tak suka kepada ura-ura Malayan Union. Kali ini dapatlah saya tahu hingga ke mana tak sukanya mereka itu dan saya disini berkata lagi janganlah bercakap-cakap sahaja bahkan hendaklah disertakan dengan hati yang sebenarnya. Saya belum lagi meminta mereka itu mengorbankan nyawa dan lain-lain, hanyalah saya meminta-minta kenyataan berapa tiap-tiap seorang itu redha dan ikhlas mengorbankan daripada gaji masing-masing. Ingat UMNO ini asalnya terbit dari Batu Pahat”.
Antara yang hadir dalam mesyuarat itu ialah Mohd Diah Abdul Rahman atau Cikgu Mohd Diah seorang guru yang berasal dari Parit Kemang, Batu Pahat. Secara spontan Cikgu Mohd Diah menjawab’ “Saya redha dan ikhlas dengan hati yang bersih mengorbankan 50% daripada gaji saya kepada derma UMNO bagi menentang Malayan Union.”
Begitu jitu semangat perjuangan seorang guru sehinggakan tidak sampai seminggu dari tarikh mesyuarat itu derma dating mencurah-curah dan membolehkan perwakilan Batu Pahat menghadiri mesyuarat Kongres Melayu di Kuala Lumpur. Apabila British secara rasmi menubuhkan Malayan Union pada 1 April 1946, ia adalah satu tamparan yang hebat kepada orang Melayu ketika itu.
Melalui Umno, Dato’ Onn terus berhadapan dengan Inggeris bagi menyatakan penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union. Setelah hamper dua tahun, akhirnya British akur dengan desakan orang Melayu dan terpaksa menguburkan Malayan Union dan menggantikannya dengan Persekutuan Tanah Melayu. Dato’ Onn bersetuju dengan cadangan itu tetapi dengan syarat ada peruntukan mengembalikan kuasa Raja-raja Melayu dan hak orang Melayu.
Tanggal 1 Februari 1948, terbentuklan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu serta tamatlah riwayat Malayan Union yang hanya mampu bertahan selama 21 bulan.

UNDANG-UNDANG TUBUH KERAJAAN NEGERI
Undang-undang Tubuh Negeri Johor memainkan peranan penting dalam menggagalkan penubuhan Malayan Union. Sultan Johor ketika itu iaitu Sultan Ibrahim telah dipaksa oleh Sir Harold MacMichael untuk bersetuju dengan penubuhan Malayan Union.
Ia membangkitkan kemarahan yang meluap-luap orang Melayu Johor yang mendakwa bahawa menandatangani perjanjian tersebut adalah melanggar Fasal 15 Undang-undang Tubuh Negeri Johor yang tidak membenarkan sultan melakukan apa-apa tindakan yang menggugat kedaulatan negeri Johor.
Perkara 15 Undang-undang Tubuh Negeri Johor menyebutkan,”Raja itu tiada sekali-kali boleh menyerahkan atau berbuat sebarang perjanjian atau ikhtiar hendak menyerahkan negeri-negerinya atau sesuatu bahagian daripada negeri dan jajahan Johor itu kepada sebarang lain kerajaan atau bangsa samada oleh kerana fikirannya susah atau keberatan padanya menjadi raja atau oeh kerana tiada suka dia memerintah atau kerana hendak mendapat, mengambil atau menerima sebarang bayaran pencen daripada bangsa atau kerajaan lain dan demikian juga pada larangan dan tegahan ini terletak dan terhukum di atas segala dan tiap-tiap seorang daripada waris dan kerabat diraja. Maka jikalau dilalui atau dicuba lalui larangan dan tegahan ini, jika Raja sendiri disifatkanlah dia berdosa dan memecahkan amanah yang diletakkan Tuhan atasnya dan demikian tiadalah diwajibkan rakyat negeri melanjutkan setia lagi padanya dan jika kerabat derhaka kepada raja dan kerajaan dan demikian bolehlah dihukumkan dengan sebarang hukuman yang ditimbangkan patut.”
Undang-undang Tubuh Negeri Johor kemudian telah diangkat sebagai model bagi perlembagaan negeri-negeri Melayu lainnya bagi melindungi kedaulatan negeri-negeri Melayu.

KUMPULAN 7
Persetujuan Sultan Ibrahim ke atas pembentukan Malayan Union mendapat tentangan terbuka daripada Kesatuan Melayu Johor yang kemudian mewujudkan krisis politik di Johor. Tujuh orang pemimpin kesatuan itu yang terdiri daripada Dato’ Abdul Rahman Muhammad Yasin, Dr Awang Hassan, Haji Hassan Yunus, Sulaiman Abdul Rahman, Kosai Haji Muhammad Salleh, Ahmad Sulaiman dan Safiah Sulaiman telah mengambil tindakan yang memeranjatkan sultan dan rakyat Johor.
Kumpulan yang dikenali sebagai Kumpulan 7 itu dengan berani mengatakan bahawa tindakan Sultan Ibrahim itu melanggar Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor. Dato’ Abdul Rahman menganjurkan perjumpaan dalam kalangan pembesar Johor dan ahli Persatuan Melayu Johor di rumah Menteri Besar waktu itu, Ungku Abdul Aziz.
Mereka menandatangani surat membantah tindakan Sultan Ibrahim yang menandatangani Perjanjian MacMichael 1946. Dalam peristiwa ini, Undang-undang Tubuh Negeri Johor ternyata turut berperanan menyelamatkan Tanah Melayu daripada hilang segala-galanya kepada British.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
hostgator coupons