Pages

Subscribe:

Ads 468x60px

10/01/2012

Nilai Sehelai Tudung


Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan muhram, bukan
sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin
keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat
telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang
tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki.


Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan
berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti
besi yang berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita, Kerana
wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak
umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian
dengan garisan syarak. Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan
dirinya semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan
kemewahan dunia.

Menyentuh berkenaan pakaian wanita, alhamdulillah sekarang telah ramai
wanita yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai
tudung. Dapat kita saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung.
Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat bawahan
hingga kepada peringkat atasan. Samada dari golongan pelajar-pelajar
sekolah hinggalah kepada pekerja-pekerja pejabat-pejabat.

Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai, namun pemakaiannya
masih tidak lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan batang leher,
dada dan sebagainya. Ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang
sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya.

Pelbagai warna dan pelbagai fesyen tudung turut direka untuk
wanita-wanita Islam kini. Ada rekaan tudung yang dipakai dengan
songkok di dalamnya, dihias pula dengan kerongsang (broach) yang
menarik. Labuci warna-warni dijahit pula di atasnya. Dan
berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah dan suratkhabar
fesyen untuk tudung.

Rekaan itu kesemuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan fitnah,
sebaliknya menambahkan fitnah ke atas wanita. Walhal sepatutnya
pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja menutup
auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita.
Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan
wanita, dan tidak berhias-hias yang mana akan menjadikan daya tarikan
kepada lelaki bukan muhramnya.

Sekaligus pakaian boleh melindungi wanita dari menjadi bahan gangguan
lelaki yang tidak bertanggungjawab. Bilamana wanita bertudung tetapi
masih berhias-hias, maka terjadilah pakaian wanita Islam sekarang
walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan riak dan bangga dalam
diri. Sombong makin bertambah. Jalan mendabik dada. Terasa tudung
kitalah yang paling cantik, up-to-date, sofistikated, bergaya, ada
kelas dan sebagainya. Bertudung, tapi masih ingin bergaya.

Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan.
Kita tidak merasakan diri ini hina, banyak berdosa dengan Tuhan
mahupun dengan manusia. Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat
dengan bertudung ini hanya satu amalan yang kecil yang mampu kita
laksanakan. Kenapa hati mesti berbunga dan berbangga bila boleh
memakai tudung?

Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang. Ada orang
yang bertudung tapi masih lagi berkepit dan keluar dengan teman lelaki
. Ada orang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas. Ada
orang bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan
muhramnya. Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh
orang-orang bertudung termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan
sebagainya.

Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini.
Orang Islam lain yang ingin ikut jejak orang-orang bertudung pun
tersekat melihat sikap orang-orang yang mencemari hukum Islam. Mereka
rasakan bertudung atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak
bertudung. Lebih baik tidak bertudung. Mereka rasa lebih bebas lagi.
Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk masuk Islam kerana sikap
umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan hukum-hakam Islam.

Walaupun bertudung, perangai mereka sama sahaja dengan orang-orang
bukan Islam. Mereka tidak nampak perbezaan agama Islam dengan agama
mereka. Lihatlah betapa besarnya peranan tudung untuk dakwah orang
lain. Selama ini kita tidak sedar diri kitalah agen bagi Islam. Kita
sebenarnya pendakwah Islam. Dakwah kita bukan seperti pendakwah lain
tapi hanya melalui pakaian.

Kalau kita menutup aurat, tetapi tidak terus memperbaiki diri zahir
dan batin dari masa ke semasa, kitalah punca gagalnya mesej Islam
untuk disampaikan. Jangan lihat orang lain. Islam itu bermula dari
diri kita sendiri. Ini tidak bermakna kalau akhlak belum boleh jadi
baik tidak boleh pakai tudung. Aurat, wajib ditutup tapi dalam masa
yang sama, perbaikilah kesilapan diri dari masa ke semasa. Tudung di
luar tudung di dalam (hati).

Buang perangai suka mengumpat, berdengki, berbangga, ego, riak dan
lain-lain penyakit hati. Walau apapun, kewajipan bertudung tidak
terlepas dari tanggungjawab setiap wanita Muslim. Samada baik atau
tidak akhlak mereka, itu adalah antara mereka dengan Allah. Amat tidak
wajar jika kita mengatakan si polanah itu walaupun bertudung, namun
tetap berbuat kemungkaran.

Berbuat kemungkaran adalah satu dosa, manakala tidak menutup aurat
dengan menutup aurat adalah satu dosa lain. Kalau sudah mula menutup
aurat, elak-elaklah diri dari suka bertengkar. Hiasi diri dengan sifat
tolak ansur. Sentiasa bermanis muka. Elakkan pergaulan bebas lelaki
perempuan. Jangan lagi berjalan ke hulu ke hilir dengan teman lelaki.

Serahkan pada Allah tentang jodoh. Memang Allah sudah tetapkan jodoh
masing-masing. Yakinlah pada ketentuan qada' dan qadar dari Allah.
Apabila sudah menutup aurat, cuba kita tingkatkan amalan lain. Cuba
jangan tinggal sembahyang lagi terutama dalam waktu bekerja. Cuba
didik diri menjadi orang yang lemah-lembut. Buang sifat kasar dan
sifat suka bercakap dengan suara meninggi. Buang sikap suka mengumpat,
suka mengeji dan mengata hal orang lain. jaga tertib sebagai seorang
wanita.

Jaga diri dan maruah sebagai wanita Islam. Barulah nampak Islam itu
indah dan cantik kerana indah dan cantiknya akhlak yang menghiasi
peribadi wanita muslimah. Barulah orang terpikat untuk mengamalkan
Islam. Dengan ini, orang bukan Islam akan mula hormat dan mengakui
"Islam is really beautiful." Semuanya bila individu Islam itu sudah
cantik peribadinya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
hostgator coupons