Subscribe:

Ads 468x60px

29/01/2012

PANGLIMA SALLEH MENENTANG KEKEJAMAN KOMUNIS



Pada tahun 1945, Jepun yang memerintah Tanah Melayu selama 3 tahun 8 bulan menyerah kalah kepada tentera British dan meninggalkan Negara ini. Dalam tempoh pengunduran tentera Jepun dan kemasukan British untuk mengambilalih pemerintahan, berlaku kekosongan kerajaan.
Di Batu Pahat, antara Ogos dan September 1945, dalam tempoh 14 hari, komunis Bintang Tiga bermaharajalela melakukan kekejaman dengan membunuh dan membakar rumah di kampung-kampung Melayu. Seorang demi seorang penduduk hilang begitu sahaja dan tidak pernah ditemui selepas itu.
Pedang Kiyai Salleh yang digunakan untuk menentang komunis di Batu Pahat dan Muar

Ramai juga yang ditangkap dan dihumban ke dalam kawah yang mengandungi air panas yang sedang menggelegak, dicungkil biji mata, dicampak ke dalam api dan macam-macam lagi penyeksaan yang dilakukan oleh Komunis Bintang Tiga waktu itu. Tetapi kekejaman itu tidak dibiarkan begitu sahaja. Apabila orang Melayu di Batu Pahat sudah tidak tertahan dengan keadaan itu, mereka mula menentang tindakan Bintang Tiga yang dianggap tidak berperikemanusiaan itu.

Antara penentangan yang paling hebat adalah yang diketuai oleh Panglima Salleh. Penentangan Panglima Salleh terhadap keganasan Komunis bermula setelah dia membawa keluarganya berpindah dari Ayer Bemban, Pontian ke Parit Gantung, Batu Pahat. Pada masa itu gerombolan Komunis seang berpusat di Seri Medan menyebabkan keadaan di kawasan Mukim Empat, Mukim Enam, Mukim Tujuh, Mukim Lapan dan Mukim Lapan Belas sentiasa tegang.
Bangunan Dewan Perniagaan Cina Batu Pahat dijadikan tempat rundingan damai antara orang Melayu dan Cina

Orang Melayu di Parit Ju, Parit Mantan, Parit Jawa, Batu Butih, Separap dan kawasan-kawasan berhampiran sentiasa hidup dalam ketakutan kerana ancaman Komunis. Melihatkan keadaan itu, Penghulu Mukim Empat iaitu Kari Md Saat melantik Ijam Ahmad menjadi ketua dan menubuhkan Persatuan Muhammadiah bagi melancarkan serangan balas terhadap Komunis. Namun, semua serangan itu gagal menggugat kedudukan Komunis di situ.
Disebabkan kegagalan itu, Penghulu Kari mencabar penduduk kampung yang sanggup tampil ke hadapan menentang Komunis. Penduduk kampung mencadangkan nama Salleh dan dia menerima cabaran itu dengan semangat yang tinggi demi membela agama Islam dan bangsa Melayu.
Rumah penduduk kampung musnah dibakar Komunis

SERANGAN DI KANGKAR SENANGAR
Sebelum Panglima Salleh memulakan serangan ke Kangkar Senangar di Parit Sulong, dia meminta pengikutnya membaca surah Yasin dan Ayat Empat. Selepas itu dia memakaikan selendang merah di badan pengikut-pengikutnya. Beliau turut berpesan kepada pengikut-pengikutnya agar mematuhi pantang larang seperti tidak boleh mengambil harta musuh kecuali senjata.
Mereka bertolak pada waktu Subuh dengan hanya bersenjatakan pedang dan parang panjang. Panglima Salleh memiliki sebilah pedang luar biasa warisan pusaka Raja Riau. Pedang itu dikatakan mampu memberi tujuh kesan cantas dengan sekali libasan. Walaupun jumlah anggota Komunis dikatakan  jauh lebih ramai dan dilengkapi dengan senapang, kumpulan Panglima Salleh berjaya menumpaskan mereka.
SERANGAN DI BUKIT ALAM
Kejayaan kumpulan Panglima Salleh di Kangkar Senangar semakin menguatkan kepercayaan orang Melayu di Mukim Empat terhadap kepimpinannya. Dalam serangan di Bukit Alam, pengikutnya semakin bertambah. Di Bukit Alam, sekali lagi mereka berjaya menumpaskan Komunis.
Serangan itu kemudiannya diteruskan ke Bukit Naning, Ayer Hitam, Semerah dan Parit Ju. Sebagaimana Komunis melakukan keganasan terhadap orang Melayu, begitu jugalah kumpulan Panglima Salleh membalasnya.
RANCANGAN MENYERANG BANDAR PENGGARAM
Sepanjang peperangan di antara pengganas Komunis Bintang Tiga dengan penduduk kampung di Batu Pahat dan Muar, usaha dilakukan untuk kedua-dua pihak berdamai. Dato’ Onn Jaafar yang ketika itu bertugas sebagai Pegawai Daerah Batu Pahat bersama-sama Panglima Salleh telah dua kali mengadakan rundingan dengan ketua Bintang Tiga. Kali pertama di Tangkak, Muar dan kali kedua di  Bukit Pasir, Batu Pahat.
Walaupun rundingan tersebut telah mencapai kata sepakat namun dicabuli oleh Komunis, mereka terus melakukan kekejaman demi kekejaman terhadap penduduk kampung. Mereka menyerang kampung-kampung Melayu dan membunuh beberapa orang penghulu di beberapa Mukim. Setelah tidak tahan melihatkan kekejaman tersebut berterusan, Panglima Salleh mengatur rancangan untuk menyerang Bandar Penggaram kerana disitulah dipercayai lubuk Komunis di Batu Pahat ketika itu.
Panglima Salleh mengumpulkan pengikut-pengikutnya dari Parit Sulong, Ayer Hitam, Sungai Balang dan Lubuk berkumpul di Bagan serta bersedia untuk bergerak ke Bandar Penggaram dengan berjalan kaki sejauh kira-kira lapan kilometer. Bagaimanapun, sebelum sempat memulakan serangan itu, Dato’ Onn sampai dahulu di Bagan dan meminta Panglima Salleh dan pengikutnya membatalkan rancangan menyerang Bandar Penggaram. 
Perarakan anti komunis di Kota tinggi

Keesokan harinya, Dato’ Onn memanggil kesemua penghulu Batu Pahat, ketua-ketua Bintang Tiga dan ketua orang Cina di Bandar Penggaram supaya berhimpun di Dewan Perniagaan Cina di Jalan Rahmat untuk mengadakan rundingan damai.
Pada pertemuan itu, semua pihak bersetuju dan sepakat untuk menghentikan persengketaan yang tidak menguntungkan sesiapa sebaliknya menyusahkan semua pihak.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
hostgator coupons