Pages

Subscribe:

Ads 468x60px

15/08/2012

Sheikh Al-Muqari' Haji Hassan Bin Ismail Al-Hafiz



Sheikh al-Muqari' Haji Hassan bin Ismail Al-Hafiz merupakan salah seorang tokoh bidang pengajian Al-Quran yang terkenal di negeri Johor sekitar tahun 1940-1970 an. Beliau dilahirkan di Segamat, Johor pada 11 Februari 1916. Bapanya Haji Ismail Yusuf merupakan Kadi pertama di daerah Segamat, Johor. Seorang alim pada masa itu bernama Syeikh Jamil al-Banjari telah membawa Haji Hassan menuntut ilmu pengajian al-Quran di Makkah. Seawal usia 10 tahun, Haji Hassan belajar menghafaz al-Quran di Masjid al-Haram dan Madrasah Dar al-'Ulum al-Diniyah (1930-1936). Pada usia 15 tahun beliau berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran di Madrasah al-Tajwid Wa al-Qiraat al-Salabiyah, Kaherah (1936-1940).

Beliau menuntut di Maahad al-Qiraat al-Azhar, Mesir dalam bidang Takhassus al-Quran sehingga tahun 1945. Sepanjang pengajian tersebut, beliau mendapat biasiswa dari kerajaan negeri Johor. Pada 1945, Haji Hassan telah memperolehi ijazah bacaan Qiraat al-Asyarah al-Sughra yang menyempurnakan bagi bacaan tujuh dengan al-'Alim Syeikh al-Qurra' yang merupakan qari di Masjid Jamek Saidi 'Ali Zainal 'Abidin, Kaherah dengan tamat bacaan 30 juzuk. Penghujung 1946, Haji Hassan kembali ke tanahair. Beliau merupakan antara alim ulama Melayu lulusan al-Azhar ketika itu yang menerima gelaran Sheikh al-Muqari dari universiti tersebut. Kemudiannya beliau dilantik menjadi Pegawai Hal Ehwal Islam di Jabatan Agama Johor dan diberi mandat sebagai Kadi di Mersing, Kluang, Kota Tinggi dan Johor Bahru. Selain mahir dalam bidang al-Qiraat al-Asyarah, Haji Hassan turut pakar dalam bidang tarannum al-Quran.

Dengan kemahiran tersebut, beliau dilantik sebagai jurulatih peserta negeri Johor yang menyertai Majlis Tilawah peringkat kebangsaan. Selain itu, beliau juga merupakan antara pelopor bacaan al-Quran bertarannum di Johor khususnya dan amnya di Malaysia. Selain dari itu, beliau juga memperkenalkan ilmu al-Qiraat kepada imam-imam di Johor dan membimbing penuntut Maahad Johor. Beliau turut menerima tawaran daripada Perdana Menteri Malaysia, Tunku Abd Rahman Putra al-Haj untuk menjadi guru tahfiz di Maahad Tahfiz Masjid Negara yang baru ditubuhkan ketika itu. Beliau bersara pada 15 Jun 1970 dan kembali ke pangkuan Ilahi pada 26 Disember 1986.

Antara murid beliau yang terkenal di Johor ialah Ustaz Haji Mohd Zin Abdul, Haji Ahmad Samdin, Allahyarham Haji Abu Kassim Sirat, Dato' Haji Hassan Mahmud al-Hafiz dan Dato' Haji Sa'ari @ Shanggari Abdullah al-Hafiz.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
hostgator coupons