Pages

Subscribe:

Ads 468x60px

08/08/2012

Sejarah nama-nama tempat di Johor

Kampung Belukar Juling, Mersing

Pada awal pembukaannya di kampung ini terdapat seorang lelaki cina bermata juling yang tinggal disitu kerana kawasannya yang jauh dan berdekatan dengan laut. Pada suatu hari, lelaki ini dikatakan telah membersihkan kawasan tersebut untuk menanam pokok getah. Namun setelah semuanya selesai lelaki tersebut hilang tanpa dapat dikesan dan akhirnya kawasan itu telah ditumbuhi semak dan belukar. Ketika kawasan itu mahu dijadikan kawasan penempatan, penduduk disitu menamakan kawasan berkenaan sebagai Belukar Juling sempena lelaki cina bermata juling yang membersihkan kawasan itu. Walaupun identiti lelaki bermata juling itu tidak diketahui sehingga ke hari ini namun nama Belukar Juling tetap kekal hingga sekarang.


Felda Ulu Dengar, Kluang

Felda ini mendapat nama sempena Sungai Dengar yang terletak berdekatan dengan Gunung Berlumut. Desiran air sungai berkenaan bukan sahaja boleh didengar malah dapat dinikmati sepanjang sungai berkenaan dan boleh dilihat jika pengunjung serta penduduk menyelusuri sungai berkenaan. Namun dikatakan ketika itu aliran air di hulu sungai tidak dapat dilihat dan hanya bunyi derasannya yang dapat didengar dari kawasan berhampiran. Menurut cerita penduduk felda ini, pada ketika itu mereka yang menyelusuri sungai itu tidak dapat melihat air yang mengalir di hulu sungai dan hanya dapat mendengar bunyinya sahaja. Apabila felda ini diwujudkan maka nama Ulu Dengar digunakan sempena keunikan suasana di hulu sungai berkenaan.



Kampung Liang Batu, Pagoh

Nama kampung ini diperolehi sempena satu peristiwa iaitu air yang mengalir melalui liang menghala ke Sungai Muar. Apabila air itu hampir tiba di Sungai Muar, ia membelok ke kiri. Air yang melalui liang berkenaan jatuh ke batu yang dikatakan disusun oleh Sang Kelembai untuk menangkap ikan. Berikutan peristiwa ini maka kampung berkenaan diberi nama Kampung Liang Batu.


Kampung Durian Chondong, Muar

Kampung ini mendapat namanya sempena keadaan pokok leban dan durian di kampung tersebut yang hampir kesemuanya berada pada kedudukan condong. Keadaan itu dipercayai disebabkan struktur tanah di kampung itu yang berpasir. Menurut cerita penduduk kampung, pada ketika kampung itu ingin dibuka, terdapat banyak pokok leban dan durian disekitar kampung berkenaan. Bagi mengabadikan suasana alam ketika itu dan keadaan kedua-dua buah pokok berkenaan, penduduk kampung menamakannya sebagai Kampung Durian Chondong. Ejaan chondong adalah sistem ejaan lama tetapi ia kekal digunakan sehingga sekarang walaupun ejaan sebenar masakini ialah condong.



Bandar Penggaram, Batu Pahat

Nama penggaram diperolehi dari perkataan pangkal jeram sempena jeram yang terdapat di sebatang sungai yang terletak berhampiran bandar Batu Pahat. Apabila bandar berkenaan dibuka, ia dinamakan sebagau Bandar Penggaram sempena singkatan pangkal jeram.


Kampung Kayu Ara Pasong, Pontian

Nama kampung ini diperolehi sempena keadaan alam semulajadi di sepanjang sungai berkenaan. Pada masa kampung ini mula dibuka, di sepanjang bahagian kiri dan kanan sungai berkenaan terdapat banyak pokok kayu ara yang tumbuh meliar dan akarnya dikatakan berpasong antara satu sama lain. Sempena keadaan itu, penduduk kampung menamakannya dengan nama Kampung Kay Ara Pasong.







Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
hostgator coupons