Terdapat beberapa tradisi amalan jahiliyah yang masih diamalkan dalam masyarakat kita terutamanya melibatkan kematian. Antara amalan tersebut ialah meratap, berteriak dan menangisi secara berlebih-lebihan dalam meluahkan perasaan berduka.

Islam telah mengajar ummatnya bahawa mati diibaratkan satu perpindahan dari satu alam ke alam yang lain, bukannya satu kemusnahan yang hilang terus. Perasaan duka berlebihan yang dilahirkan bukannya dapat menghidupkan kembali orang yang telah mati dan juga tidak dapat menolak takdir Allah. Maka dengan demikian, setiap orang Islam harus menerima dengan redha dan tabah kenyataan bahawa kematian yang telah ditakdir ke atas ahli keluarga atau sahabat handainya. Islam juga telah menggariskan panduan menerima khabar kematian dengan menyebut kalimat "inna lillahi wainna ilaihi raji'un" (sesungguhnya kami adalah milik Allah, dan kepadaNyalah kami akan kembali).



Sesungguhnya amalan yang dilakukan oleh orang-orang jahiliyah merupakan satu perkara yang mungkar dan haram serta tidak diperakui oleh Rasulullah s.a.w, sebagaimana sabdanya: "Tidak termasuk golongan kami orang yang menampar pipi dan merobek-robek pakaian dan menyeru dengan seruan jahiliah." (Riwayat Bukhari)

Tidak halal bagi seorang muslim memakai tanda khusus bagi tujuan berkabung atau tidak berhias atau mengganti pakaian dan gerak yang sudah biasa, demi menampakkan perasaan duka dan sedih atas kematian tersebut. Kecuali isteri yang kematian suami, dia harus  berkabung selama empat bulan sepuluh hari, dalam menjaga hak bekas suami dan demi ikatan suci yang pernah menghubungkan keduanya. Selama tempoh berkabung itu, hendaklah dia tidak menampakkan sebarang perhiasan supaya tidak menjadi sasaran mata-mata orang yang hendak meminangnya dalam tempoh iddah itu. Dengan demikian, cara ini boleh dianggap sebagai tempoh melanjutkan beberapa hak suami dalam perkawinannya yang telah terdahulu dan sebagai ikatan atas perkawinan yang lalu.

Akan tetapi jika yang mati itu bukan suami, misalnya ayah, anak atau saudara, maka tidak halal seorang perempuan berkabung lebih dari tiga hari.

Zainab binti Abu Salamah meriwayatkan dari Ummu Habibah isteri Nabi s.a.w. ketika ayahnya, Abu Sufyan meninggal dunia. Dia juga meriwayatkan dari Zainab binti Jahsy ketika saudaranya yang laki-laki meninggal dunia. Kedua isteri Nabi ini tidak memakai wangi-wangian, kemudian ia berkata: "Demi Allah, saya tidak memerlukan wangi-wangian, namun saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Tidak halal seorang perempuan yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, berkabung kerana kematian, lebih dari tiga malam, kecuali atas kematian suami, maka harus berkabung empat bulan sepuluh hari." (Riwayat Bukhari)

Isteri wajib berkabung di atas kematian suaminya berdasarkan satu riwayat berikut: "Telah datang seorang perempuan kepada Nabi s.a.w. kemudian ia berkata: sesungguhnya anak perempuanku ditinggal mati oleh suaminya dan matanya menjadi bengkak (kerana menangis), apakah boleh saya suruh dia memakai celak? Maka jawab Rasulullah: Tidak! Dua kali atau tiga kali, tiap kali ditanya selalu menjawab tidak." (Riwayat Bukhari dari Ummu Habibah)

Ini menunjukkan, haram berhias dalam tempoh eddah yang telah ditentukan. Kesedihan tersebut hendaklah tidak melampaui batas dan menangis tanpa teriak-teriak, termasuk masalah pembawaan. Oleh kerana itu tidaklah berdosa.

Diriwayatkan, bahawa Umar Ibnul-khattab pernah mendengar sementara perempuan menangis kerana kematian Khalid bin al-Walid, kemudian ada seorang lelaki yang hendak melarangnya, maka Umar berkata kepada lelaki tersebut: "Biarkanlah dia menangis kerana kematian Abu Sulaiman ini (Khalid bin Walid), selama mana tangisnya itu tidak menabur-naburkan debu di atas kepalanya dan tidak teriak-teriak."