Pages

Subscribe:

Ads 468x60px

30/09/2012

Qabil dan Habil (Bab 2)


Pembunuhan Pertama Dalam Sejarah Manusia.

Qabil tidak berpuashati dengan keputusan itu namun tidak dapat mempersoalkannya kerana dia telah mempersetujui cara tersebut untuk dijadikan taruhan. Qabil telah bernekad untuk merampas Iqlima daripada Habil dan dia akan membunuh Habil ketika ketiadaan Nabi Adam di rumah.

Qabil menyatakan kesanggupannya menjaga pesanan dan amanat ayahnya serta akan berusaha sekuat tenaga bagi melaksanakan amanat tersebut dengan sebaik mungkin dan sempurna. Janji tersebut keluar dari mulutnya sendiri namun begitu didalam hati kecilnya ia berkata bahawa inilah masa yang baik untuk melaksanakan niat jahatnya dan melepaskan rasa dendamnya dan dengkinya terhadap Habil. Tidak lama setelah Adam meninggalkan keluarganya datanglah Qabil menemui Habil di tempat penternakannya.

Berkata Qabil kepada Habil:"Aku datang ke mari untuk membunuhmu. Masanya telah tiba untuk aku lenyapkan engkau dari atas bumi ini."

"Apa salahku dan apa alasan engkau untuk membunuhku?"tanya Habil dengan hairan.

Qabil menjawab:"Semua ini kerana korbanmu diterima oleh Allah sedangkan korbanku ditolak sebagaimana perjanjian yang bermaksud engkau akan mengahwini adikku Iqlima yang cantik dan molek itu dan aku harus mengahwini adikmu yang buruk dan tidak mempunyai gaya yang menarik itu."

Habil berkata:"Adakah berdosa aku bahawa Allah telah menerima korbanku dan menolak korbanmu?Bukankah engkau telah bersetuju cara penyelesaian yang diusulkan oleh ayah sebagaimana telah kami laksanakan?Janganlah tergesa-gesa wahai saudaraku dengan mempertaruhkan hawa nafsu dan ajakan syaitan! Kawallah perasaanmu dan fikirlah masak- masak akan akibat perbuatanmu kelak! Ketahuilah bahawa Allah hanya menerima korban dari orang-orang yang bertakwa yang menyerahkan dengan tulus ikhlas dari hati yang suci dan niat yang murni.Adakah mungkin sesekali bahawa korban yang engkau serahkan itu engkau pilihkannya dari gandummu yang telah rosak dan busuk dan engkau berikan secara terpaksa bertentangan dengan kehendak hatimu, sehingga ditolak oleh Allah, berlainan dengan kambing yang aku serahkan sebagai korban yang sengaja aku pilihkan dari perternakanku yang paling sihat dan kucintai dan ku serahkannya dengan tulus ikhlas disertai permohonan diterimanya oleh Allah.Renungkanlah wahai saudaraku kata-kataku ini dan buangkanlah niat jahatmu yang telah dibisikkan kepadamu oleh Iblis itu, musuh yang telah menyebabkan turunnya ayah dan ibu dari syurga dan ketahuilah bahawa jika engkau tetap berkeras kepala hendak membunuhku, tidaklah akan aku angkat tanganku untuk membalasmu kerana aku takut kepada Allah dan tidak akan melakukan sesuatu yang tidak diredhainya.Aku hanya berserah diri kepada-Nya dan kepada apa yang akan ditakdirkan bagi diriku."

Segala nasihat dan pesanan Habil itu didengar oleh Qabil namun ibarat masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Kata-kata itu tidak sampai menyentuh lubuk hatinya yang penuh rasa dengki, dendam dan iri hati langsung. Qabil yang dipengaruhi oleh Iblis langsung tidak menoleh kebelakang dan mempertimbangkan kembali tindakan jahat yang dirancangkan terhadap saudaranya. Bahkan api dendam dan dengki didalam dadanya  tetap menyala-nyala. Ketika Qabil berada dalam kebingungan dan berfikir bagaimana cara untuk membunuh Habil, menjelmalah Iblis dengan seekor burung yang dipukul kepalanya dengan batu sampai mati. Contoh yang diberikan Iblis itu diterapkannya ke atas diri Habil. Ketika Habil sedang nyenyak tidur maka datanglah Qabil melaksanakan perbuatan hinanya itu terhadap Habil dan jadilah matilah Habil sebagai korban keganasan saudara kandungnya sendiri dan merupakan korban pembunuhan yang pertama dalam sejarah manusia.

Penguburan Jenazah Habil.

Qabil merasa sungguh gelisah dan tidak senang duduk memikirkan mayat saudaranya itu dan dia tidak tahu apa yang harus dilakukan terhadap mayat itu yang semakin lama semakin busuk. Qabil meletakkan mayat itu di sebuah peti dan dipikulnya seraya mundar-mundir. Qabil berasa sungguh sedih melihat burung-burung sedang berterbangan hendak menyerbu tubuh jenazah Habil yang sudah busuk itu.

Masalah yang dihadapi Qabil tidak tertanggung lama. Tiba-tiba dia mendapat petunjuk dari Allah cara mengebumikan jenazah saudaranya itu. Sesungguhnya Allah tidak rela melihat mayat hamba-Nya yang soleh dan  tidak berdosa itu disia-siakan begitu sahaja. Allah telah mendatangkan seekor burung gagak dengan keadaan gagak tersebut menggali tanah menggunakan kaki dan paruhnya lalu menyodok gagak yang sudah mati ke dalam lubang yang digali dan kemudiannya menimbus kembali lubang tersebut. Qabil yang melihat peristiwa itu lalu melaksanakan kerjanya sebagaimana yang dilakukan oleh gagak tersebut.

Sekembalinya Adam ke rumah, ia tidak melihat kelibat Habil lalu ia bertanyakan kepada Qabil di mana Habil. Lalu Qabil menjawab:"Entah, aku tidak tahu dia ke mana! Aku bukan hamba Habil yang harus mengikutinya ke mana saja ia pergi."

Melihatkan sikap yang angkuh yang ditunjukkan Qabil dan mendengar jawapan yang kasar dari Qabil, Adam meneka bahawa telah terjadi sesuatu ke atas diri Habil, puteranya yang soleh. Dan akhirnya terbukti bahawa Habil telah mati dibunuh oleh Qabil sewaktu ketiadaaanya. Adam berada sangat menyesal di atas perbuatan Qabil yang kejam dan ganas itu di mana hubungan keluarga diketepikan sekadar untuk memenuhi hawa nafsu dan bisikan yang menyesatkan.

Dalam menghadapi musibah itu, Nabi Adam hanya berpasrah kepada Allah menerimanya sebagai takdir dan kehendak-Nya seraya mohon dikurniai kesabaran dan keteguhan iman baginya dan kesedaran bertaubat dan beristighfar bagi puteranya Qabil.


Pengajaran Dari Kisah Putera Nabi Adam A.S..

 Sesungguhnya Allah hanya menerima korban dari hamba yang berkorban dengan hati yang ikhlas tanpa dicampuri perasaan riak, takbur dan ingin dipuji. Barang yang ingin dikorbankan hendaklah dalam keadaan baik dan sempurna serta dari sumber yang halal. Sekiranya korban itu merupakan haiwan ternakan, hendaklah ternakan itu sihat, segar, tidak berpenyakit, tidak cacat dan tidak busuk.

Pengurusan jenazah manusia perlu dilakukan dengan cara pengebumian sebagaiman yang diajarkan Allah kepada Qabil. Itu merupakan cara yang paling sempurna sesuai fitrah manusia yang diberi kemuliaan dan kelebihan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
hostgator coupons