Pages

Subscribe:

Ads 468x60px

04/02/2012

Poligami Bukan Sesuka Hati


Sejak akhir-akhir ini ramai dalam kalangan kita yang memilih hidup berpoligami dengan alasan semata-mata mahu 'menyelamatkan' agama pasangan masing-masing. Maksud agama disini ialah Islam yang sering menjadi tujuan asas mengapa ramai saudara baru sedia hidup berpoligami. Bahkan bukan lagi menjadi kejutan di negara ini, hampir ratusan jumlah pasangan saudara baru memilih hidup berpoligami sejak awal tahun 90-an selepas mendaftarkan pengislaman mereka samada di luar negara atau dalam negara.



Bukanlah salah sesiapapun yang bersedia untuk hidup bermadu walaupun mungkin terpaksa menerima hakikat bahawa mereka sebenarnya menjalani kehidupan yang sedikit berbeza dengan pasangan yang memilih hidup monogomi. Lebih-lebih lagi poligami itu sering menjadi isu kontroversi dalam masyarakat. Poligami dibolehkan dalam Islam bukanlah untuk memenuhi kehendak nafsu seks bagi lelaki semata-mata tetapi ia mempunyai maksud serta tujuan kemaslahatan ummah. Islam tidak memandang mudah syarat yang dikenakan kepada suami yang ingin berpoligami.

Rasulullah sendiri berkahwin dengan isteri-isterinya atas dasar untuk membantu dan memberi perlindungan kepada mereka. Contohnya Rasulullah menikahi Siti Saudah Binti Zam'ah kerana beliau kematian suami. Seluruh kaum kerabat Siti Saudah adalah orang musyrik. Usia Siti Saudah ketika itu 66 tahun. Namun baginda tidak mahu membiarkan Siti Saudah bersendirian kerana bimbang Islamnya terancam.

Rasulullah juga berkahwin dengan Siti Aisyah dan Siti Hafsah sebagai penghargaan kepada orang tua mereka. Ibu bapa mereka adalah sahabat dan menteri Rasulullah iaitu Abu Bakar As-Siddiq dan Umar Al-Khattab. Rasulullah juga berkahwin dengan Ummu Salamah seorang mualaf. Suami Salamah telah meninggal dunia dan memiliki anak yang masih memerlukan didikan.

Rasulullah cuma berkahwin dengan seorang gadis manakala yang lain semuanya janda bagi membantu kehidupan mereka. Rasulullah berpoligami demi menguatkan ikatan kasih sayang antara kerabat dan kabilah isteri-isterinya supaya memeluk Islam. Poligami yang dilaksanakan Rasulullah sarat dengan pengajaran penting serta hikmahnya. Baginda tidak melakukannya secara sesuka hati atau tanpa pertimbangan yang wajar.

Firman Allah yang bermaksud ,"Maka kahwinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi: dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak dapat berlaku adil, maka kahwinilah seorang sahaja," (Surah An-Nisa' ayat 3).

Poligami sebenarnya menjadi satu penyelesaian kepada masalah. Ia sama juga seperti talak yang dibolehkan kerana mahu mencari jalan keluar daripada kesulitan.

Poligami tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya tetapi perlu berdasarkan nas syariat serta realiti keadaan masyarakat. Menjadi lumrah kehidupan, tidak semestinya semua yang berlalu indah belaka tetapi Allah sentiasa menguji kita dengan pelbagai dugaan bagi menilai kesabaran dan ketabahan hamba-Nya. Oleh itu, dengan tegas dinyatakan bahawa suami dituntut supaya bersikap adil jika ingin berpoligami. Setiap isteri berhak mendapatkan hak masing-masing. Suami tidak boleh mengurangi  nafkah seorang isterinya dengan alasan isteri mempunyai sumber kewangan sendiri.

Prinsip adil tidak mengira samada mereka gadis, muda atau tua termasuk soal taraf pendidikan. Suami juga wajib berlaku adil dalam memberi perlindungan, makan minum dan pakai patut. Ulama sepakat suami wajib bertanggungjawab menyediakan tempat tinggal kepada setiap isteri dan sesuai dengan kemampuannya. Selain itu, aspek giliran adalah perkara penting bagi memastikan tujuan perkahwinan itu mencapai matlamatnya bagi melahirkan sebuah keluarga yang bahagia.

Jika giliran sudah tidak adil, maka jangan harap yang lain-lain boleh berlaku adil. Sesungguhnya poligami adalah sebahagian daripada sunnah Rasulullah. Malangnya poligami sering dipandang serong akibat pengamalnya yang tidak bersedia menjadikan syariat Islam sebagai panduan hidup mereka.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
hostgator coupons